MENJELANG jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M), setiap pasukan kini sedang dalam usaha untuk membawa masuk pemain tempatan dan import terbaik buat kelab masing-masing.
Tidak ketinggalan, Sri Pahang FC antara yang terawal mempersiapkan kertas kerja untuk membariskan beberapa muka baharu menjelang aksi kedua Liga Super nanti, lapor Stadium Astro.
Kelab yang berpangkalan di Pantai Timur itu menghuni tangga keempat selepas tamat pusingan pertama Liga Super, dan pasukan Tok Gajah itu difahamkan sedang menilai beberapa senarai pemain yang dikehendaki bagi posisi penyerang utama serta pemain sayap.
Sri Pahang kini sedang meneliti rundingan untuk meminjam pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid seperti mana yang pernah dilakukan terhadap pemainnya sebelum ini seperti Izham Tarmizi Roslan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Syazwan Andik Ishak.
"Pastinya kehadiran Safawi Rasid bersama Sri Pahang amat dinanti-nantikan menerusi kebolehannya.
"Namun, kami masih dalam penantian. Kami tidak ada kepastian mengenai Safawi, kami masih menunggu.
"Kalau dia ada keinginan dan atas keizinan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk membenarkannya bermain di sini.
"Terpulang kepada keputusan Johor Darul Takzim (JDT) dan kami terbuka dalam menerima sekiranya Safawi ingin bermain dengan Sri Pahang," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang.
Dalam pada itu, pengendali pasukan, Fandi Ahmad turut menggesa pihak pengurusan agar memburu seorang penyerang sokongan bagi meringankan beban Kpah Sherman yang beraksi dalam kesemua 14 perlawanan liga musim ini dengan pencarian tonggak import itu melibatkan dari benua Afrika.
"Kami memang ada berbincang mengenai situasi Kpah Sherman yang berseorangan di barisan hadapan dan kecederaan yang menimpa Lucas Silva pastinya mengundang kebimbangan sama ada dia sempat pulih atau tidak.
"Tetapi penilaian juga terpulang kepada kata putus barisan kejurulatihan.
"Dengan kebijaksanaan Fandi dan Datuk Dollah Salleh, mungkin akan ada perubahan dalam jendela perpindahan kedua kelak," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram