PERBUATAN dua lelaki yang dirakam mencuri haiwan burung di sebuah kediaman pada Isnin mengundang perhatian ramai.
Ketika kejadian, si pencuri terlebih dahulu menyerbu masuk ke rumah berkenaan selepas merobohkan pagar besi rumah terbabit sebelum mencuri beberapa ekor burung dipercayai jenis tekukur di tempat tersebut.
Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), video berdurasi satu minit 37 saat itu meraih lebih 80,000 jumlah tontonan di TikTok.
Namun, lokasi sebenar kejadian belum dapat dipastikan setakat ini.
Tidak diperhatikan oleh sesiapa, kegiatan itu dipercayai berlaku tanpa sebarang pengawasan tuan rumah dan jiran tetangga apabila kedua-duanya berjaya melarikan haiwan tersebut.
Identiti si pelaku juga gagal dikenal pasti dengan masing-masing dilihat memakai topeng pelitup muka ketika kejadian.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut bersimpati dengan insiden tersebut kerana haiwan jenis itu dipercayai mempunyai nilai yang agak tinggi di pasaran.
"Zaman sekarang orang mencuri dah tak kira apa, asalkan ada nilai burung pun dia sanggup curi, seekor boleh cecah ratusan ringgit juga," jelas Mohd Zuhair.
"Burung tekukur memang ada nilai di pasaran, sekarang dah jadi sasaran pencuri pula untuk kaut untung," ujar Tyra Ziad.
"Bela burung pun tak selamat, pencuri takda modal lain ke nak dapat duit, hobi orang pun dia nak sapu nak buat duit," jelas Rahmad Yusoff57.
Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes itu setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram