Zamsaham ada 'lubang' baharu, TRW kini pilih dasar pandang ke Timur Tengah


  • Podium
  • Ahad, 11 Jun 2023

Zamsaham masih mempunyai beberapa perancangan lain bagi meneruskan perjuangan Kelantan FC pada musim ini. — Facebook/Kelantan FC

SELEPAS menerima tamparan serta kritikan hebat daripada penyokong, perjalanan Kelantan FC di saingan Liga Super kini semakin diragui dengan kekalahan demi kekalahan dialami memperlihatkan perjuangan The Red Warriors (TRW) seperti sudah berada di penghujung.

Namun, jangkaan itu disangkal oleh pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham yang dilihat semakin bersemangat dan belum berputus asa untuk meneruskan peluang kedua pasukan itu pada musim ini.

Menerusi perkongsian dimuat naik di laman Facebook peribadinya pada Sabtu, TRW kini sudah menandatangani seorang pemain muda kelahiran Bachok, Kelantan yang sebelum ini pernah berkelana selama dua tahun di FC Malaga City Akademi, Sepanyol.

Beraksi di posisi sayap, Allee Putra Azril, 18, pernah menimba pengalaman dan ilmu sepanjang tiga tahun di Sepanyol yang mana ia satu perkara cukup berharga bagi pemain di usianya.

main'

Allee Putra Azril menjadi sandaran terbaharu pasukan Kelantan dengan kelibatnya di atas padang akan menjadi tumpuan peminat kelak. — Facebook/Zamsaham

Dalam pada itu, satu lagi perkhabaran dikongsikan oleh wakil daripada agensi bola sepak, Shekoo, baru-baru ini dengan menyaksikan pemilik TRW itu telah mengadakan satu sesi pertemuan bersamanya.

Shekoo yang juga merupakan pemain kelab semi profesional Shah Alam Antlers antara individu yang terlibat dalam agensi 'Shekoo Stars Agency' dan sebelum ini pernah mengendalikan beberapa pemain berpengalaman seperti bekas perancang Penang FC, Hilal El-Helwe serta seorang lagi pemain kelahiran Lubnan, Rabih Ataya.

Berkongsi foto pertemuan dengan Norizam Tukiman menerusi hantaran Insta Story peribadinya, situasi itu dianggap sebagai satu perkembangan positif buat Kelantan dengan pemilik pasukan itu masih mempunyai baki perancangan yang sedang diusahakan secara senyap-senyap.

Tidak memuat naik sebarang maklumat berhubung pertemuan dengan figura dari agensi terbabit, namun ia cukup untuk menggambarkan bahawa semangatnya masih membara untuk memperjuangkan bola sepak di Kelantan.

shekoo

Shekoo antara individu berpengalaman yang membawa masuk beberapa pemain import ternama dalam kancah Liga M. — Instagram/Shekoo1989

Untuk rekod, Shekoo sebelum ini muncul sebagai salah seorang individu penting yang membantu Penang FC sepanjang jendela perpindahan ketika mereka membawa masuk Ousmane Fane, Soony Saad dan Curt Dizon.

Di samping itu, dia juga pernah membantu Perak FC untuk mendapatkan khidmat seorang lagi pemain Timur Tengah, Jad Noureddine pada 2021.

Dengan pengalaman serta keupayaan Shekoo selaku wakil dari agensi yang berkenaan, ia sekali gus memberi bayangan akan beberapa lagi pemain import khususnya dari negara Timur Tengah yang akan dibawa masuk ke Kelantan menjelang jendela perpindahan kedua nanti.

Jika disebut soal penyerang dari benua tersebut, peminat pastinya tidak pernah melupakan kelibat Mohammed Ghaddar yang dilabel sebagai legenda oleh sebilangan peminat.

Pernah membantu pasukan itu meraih gelaran treble pada 2012 dengan menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim yang sama, detik manis tersebut pastinya akan sentiasa dalam ingatan setiap peminat bola sepak di Kelantan.

Maka, dengan perkongsian terbaharu itu, diharapkan ia mampu mendatangkan khabar gembira tidak lama lagi dengan kelibat import dari Timur Tengah sentiasa menjadi igauan peminat TRW. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram