Annuar Musa ambil langkah pertama selamatkan situasi bola sepak Kelantan


  • Podium
  • Isnin, 12 Jun 2023

Annuar merupakan seorang individu yang cukup disegani dalam sejarah bola sepak Kelantan.

TARIK-TALI di antara dua usahawan terkenal, Norizam Tukiman dan Datuk Seri Hasmiza Othman untuk bergelar pemilik Kelantan FC seperti tidak berpenghujung di media sosial ketika ini.

Hasmiza, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida sudah beberapa kali menyatakan hasratnya untuk kembali bergelar pemilik kelab Pantai Timur itu.

Dia yang merupakan pemegang saham terbesar pasukan itu dari 2016 hingga 2017 pernah sedikit membantu skuad The Red Warriors (TRW) yang bergelut dengan isu kewangan.

Bagaimanapun, hasil tinjauan di media sosial mendapati rata-rata penyokong TRW menolak kehadiran usahawan kosmetik itu kerana melihat kedatangan Datuk Seri Vida hanya untuk tujuan publisiti.

vida

Vida sudah beberapa kali menyatakan hasratnya untuk memiliki Kelantan FC.

Selain itu, perubahan dari segi imej kelab sepanjang berada di bawah pemilikannya adalah cukup menggusarkan apabila ia dikatakan menjatuhkan reputasi Kelantan FC.

Namun, pandangan yang membanjiri media sosial itu tidak bermakna mereka mahu menyaksikan Norizam terus kekal sebagai pemilik pasukan.

Usahawan yang juga terkenal dengan jolokan Zamsaham itu kini terus menghiasi dada-dada akhbar mengenai kegagalannya untuk menjaga kebajikan 'tulang belakang' skuad TRW.

Pendedahan daripada ramai pihak menyaksikan Norizam membayar gaji tidak pada waktunya di samping enggan memberikan bayaran sepenuhnya selagi prestasi di atas padang merosot.

Jadi, beberapa gerakan mula dilancarkan penyokong skuad TRW yang mengharapkan agar Zamsaham tidak meluangkan masa terlalu lama untuk mencari pemilik baharu pada masa terdekat.

Norizam_Tukiman2_1686382911

Kedudukan Zamsaham sebagai pemilik Kelantan FC semakin terancam.

Persoalannya, dengan hutang tinggi yang terus membebani Kelantan FC, siapakah yang layak untuk menjadi pemilik baharu Kelantan FC?

Antara nama yang sering dipetik adalah bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang kini sudah tidak terlalu meluangkan masa dalam dunia politik.

Beliau yang pernah bergelar Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dari 2009 sehingga 2016 memiliki reputasi cukup baik.

Ini kerana Kelantan FA pernah meraih pelbagai kejuaraan sepanjang berada di bawah pemerhatiannya, termasuk gelaran 'treble' yang dicatatkan mereka pada 2012.

Namun, hasrat itu sepertinya tidak akan tercapai apabila Annuar kini sudah tidak lagi mempunyai ruang khas dalam hatinya buat skuad TRW.

Ia berikutan hantaran yang dibuat di laman Facebook peribadinya pada Ahad memaparkan tokoh politik berusia 67 tahun itu sedang berbincang bersama pihak pengurusan Kelantan United FC.

353020998_819927212822828_6680973136411214961_n

Annuar (dua dari kanan) sempat bertemu beberapa individu di sebalik pengurusan Kelantan United. Facebook/Tan Sri Annuar Musa

"Alhamdulillah, petang tadi (Ahad) sempat bertemu dan sembang santai bersama pengurusan Kelantan United FC, pengurus dan jurulatih pasukan.

"Terima kasih kerana berkongsi sedikit maklumat awal pasukan. Sama-sama kita fikirkan bagaimana kegemilangan bola sepak Kelantan boleh kita pulihkan, Insya-ALLAH. Kena yakin KLATE GERENTI BOLEH! Kemah Keming Set Kito," tulisnya.

Sebelum ini, Annuar pernah menyatakan kekecewaannya mengenai status semasa TRW selepas mereka tewas kepada Kelantan United dengan keputusan 1-4.

Kekalahan itu meletakkan Kelantan FC terperosok ke dasar Liga Super selepas 13 perlawanan dengan hanya empat mata dikutip mereka setakat ini.

Bagi Kelantan United pula, kemenangan ke atas 'jiran' mereka itu seperti tidak memberi sebarang perubahan terhadap nasib pasukan ketika ini.

Ia berikutan kekalahan memalukan mereka kepada Selangor FC pada Rabu dengan keputusan 1-7 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.

Skuad Kijang Hijau kini hanya berada di atas Kelantan FC hasil kutipan enam berpunca daripada satu kemenangan dan tiga keputusan seri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram