NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
DENGAN euforia daripada kemenangan dramatik pada Jumaat sudah pun reda, tempoh rehat ketika ini meluangkan masa untuk Sri Pahang FC merenung kembali perjalanannya sepanjang pusingan pertama liga.
Sedalam mana pun ia dianalisis, ia tetap membawa kepada dapatan bahawa banyak yang perlu diperbetulkan andainya mereka berharap untuk mencabar bagi sebarang trofi musim ini.
Teratas dalam senarai penambahbaikan skuad Kuning-Biru itu haruslah kebangkitan seperti ketika mengalahkan Negeri Sembilan FC 4-3 itu, seboleh-bolehnya dielakkan kerana kemenangan mengikut norma-norma biasa akan lebih dialu-alukan.
“Kemenangan dramatik seperti itu tidak baik untuk mereka yang lemah jantung,” kata ketua jurulatih, Fandi Ahmad kepada Laptop Cabuk. “Mungkin ia bagus untuk tontonan tapi kami harus berusaha menang dengan mendahului dari mula hingga akhir.
Sejurus menyambung latihan selepas cuti singkat, keutamaannya dalam latihan ialah untuk mengubah persepsi bahawa Sri Pahang FC hanya pasukan yang bagus untuk satu separuh masa – sama ada pertama atau kedua.
Senyuman terukir di Stadium Darul Makmur, Pahang selepas wisel penamat ditiupkan. — Facebook/Sri Pahang FC
Setakat ini, hanya perlawanan menentang Terenggnu FC, yang dimenangi mereka 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu pada 28 April lalu, adalah satu-satunya yang menyaksikan mereka konsisten dari minit mula hingga akhir.
“Dua perlawanan terakhir (menentang Kuala Lumpur City FC dan Negeri Sembilan FC), kami bolos dua gol awal kerana lambat bermula, kurangnya kesungguhan, tiada kawalan ketat pemain dan pertahanan yang rapuh.
“Permainan kami hanya bertambah baik dalam separuh kedua. Tentunya kami tidak boleh berterusan begini, dengan jangkaan pusingan kedua liga akan lebih mencabar. Mungkin kami bernasib baik sekali-sekala tapi ia tidak akan selalunya begitu,” katanya.
Malah, dua perlawanan terdahulu menyaksikan mereka terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya satu mata ketika mengikat NSFC 1-1 (A) dan Sabah FC 1-1 (H) di samping menundukkan Perak FC 2-1 (A) dalam aksi Piala FA.
Di samping itu, dua perlawanan lain mengerah mereka memerah keringat untuk mendapatkan gol kemenangan pada minit terakhir – kedua-duanya menerusi Stefano Brundo – sewaktu mengalahkan Perak FC 2-1 (A) dan Kelantan United 1-0 (H).
Keseluruhannya, daripada lapan kemenangannya dalam liga musim ini, enam diraih dengan perbezaan setipis satu gol, dengan hanya kejayaan mengalahkan Kelantan FC 4-1 (H) dan Perak FC 3-0 (A) yang berbeza.
Fandi turut terkesan dengan statistik yang menunjukkan skuad Tok Gajah itu tidak pernah menjaringkan gol daripada ‘set piece’ dalam 13 perlawanan sebelum Brundo memanfaatkan sepakan percuma dalam pertemuan dengan NSFC itu.
Pemain kelahiran Argentina berusia 30 tahun itu sudah menjaringkan lapan gol setakat ini, termasuk dua golnya ketika menundukkan NSFC – satu gol mengatasi Kpah Sherman.
“Saya seperti sudah mendapat firasat sebelum perlawanan dengan Negeri Sembilan. Jadi, kami banyak berlatih sepakan percuma sehari sebelum itu. Selain Stefano, Kevin (Ingreso) dan Andik (Syazwan Andik Ishak) juga digilirkan.
Jaringan menerusi sepakan percuma Brundo mengikat kedua-dua pasukan. — Facebook/Sri Pahang FC
“Sebab itulah, apabila kami dapat sepakan percuma (pada minit ke-90 perlawanan dengan NSFC), saya berasa sedap hati ia akan hasilkan jaringan (untuk mengikat kedudukan 3-3). Dan ia jadi titik peralihan buat kami dalam perlawanan itu,” katanya.
Sebagai langkah ke hadapan, Fandi merencana untuk terus memanfaatkan ‘set piece’ sebagai antara senjata penting pasukannya kerana seperti Terengganu FC yang memiliki kepakaran Sony Norde dalam pengambilan sepakan percuma, Brundo terbukti tidak banyak kekurangan.
Fandi juga memuji sikap profesional yang diperagakan Sherman pada minit ke-70 dengan tidak merebahkan dirinya hanya untuk mendapatkan sepakan penalti.
Detik itu juga memperdengarkan pengulas, Zainal Abidin Rawop, mengungkapkan: “Kalau dilihat, Kpah Sherman boleh menjatuhkan dirinya apabila ditarik oleh Hariz Kamarudin tetapi dia meneruskan lariannya, sempat juga untuk melakukan satu tonjolan ke arah pintu gol (yang diselamatkan Sikh Izhan Nazrel).”
Gol lewat daripada Kpah Sherman memastikan kemenangan milik skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
“Itu kejujuran Kpah yang boleh saya banggakan,” ujar Fandi.
Seakan-akan ia satu balasan untuknya, Sherman yang menyungkit satu hantaran dalam petak penalti kira-kira 10 minit selepas itu untuk pemain gantian, David Rowley, menanduk masuk bagi merapatkan kedudukan 2-3.
Detik gemilangnya sendiri tidak juga dapat dinafikan.
Lambungan daripada sepakan percuma Ingresso menuju tepat ke kepalanya lalu menerjah jaring, empat minit dalam masa pemberhentian, untuk Sri Pahang memulakan satu ‘pesta’ di Stadium Darul Makmur, Pahang.
“Pada waktu kami ketinggalan dua gol (1-3), saya masih yakin yang kami dapat melakukan sesuatu kerana masa masih panjang.
“Kesudahannya, ia satu kebangkitan menakjubkan dan pemain-pemain layak diberi pujian di atas kerja keras mereka selain tidak mudah mengaku kalah.
“Tapi saya harap kami tidak perlu selalu bergantung kepada kebangkitan seperti ini untuk menang,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram