JUTAWAN kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida (DSV), menyatakan hasratnya untuk mengembalikan zaman kegemilangan Kelantan FC jika kembali mengambil alih semula pasukan itu daripada pemilik semasa, Norizam Tukiman.
DSV menyuarakan keinginannya untuk mengambil alih Kelantan FC namun usahawan dari Kelantan itu tidak mahu menanggung tunggakan gaji yang banyak.
DSV membuat kenyataan tersebut selepas bersimpati melihat situasi yang berpangkalan di Pantai Timur itu.
Ditemubual dalam Nadi Weekend pada Sabtu, DSV berkata, "Kepada peminat bola sepak Kelantan FC, saya mengharapkan pasukan ini mampu meningkat ke tahap yang lebih tinggi dan saya berharap pemilik semasa kelab mampu melakukannya dan jika tidak, serahkan kepada saya.
"Jika saya meminta untuk mendapatkan kelab ini, ia akan menjadi situasi yang berbeza. Saya ingin memberitahu jika mereka mampu untuk terus memacu kelab, silakan dan jika tidak, saya sedia menerima dan terus meningkatkan lagi pasukan ini.
"Saya mahu cuba untuk membawa pasukan ke tahap yang sepatutnya, bukannya berada di kedudukan yang tercorot," katanya.
Ditanya adakah The Red Warriors (TRW) akan berwarna merah jambu selepas bertukar pemilik, DSV berkata, perkara itu tidak penting buat masa kini fokus utama untuk mengembalikan Kelantan seperti dahulu.
"Tak perlu dah warna 'pink', kalau nak cat stadium warna pink pun makan kos berjuta-juta juga.
"Jersi warna pink dah tak perlu sekarang, yang penting pasukan Kelantan sekarang sepatutnya berada di antara tangga teratas liga tahun ini ataupun musim depan," ujarnya.
Dalam pada itu, anak lelaki DSV, Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin atau lebih terkenal sebagai Kacak mengimpikan untuk menyarung jersi TRW.
"Bagi pandangan saya ketika ini, saya lebih memilih untuk menjadi pemain Kelantan tanpa gaji pun tak apa.
"Kenapa saya nak jadi pemain sebab Kelantan kita tengok saya rasa sedih, sebab dulu Kelantan adalah pasukan yang digeruni ramai.
"Tapi sekarang kita tengok Kelantan, kita dah tahu itu 'free point' untuk pasukan lain menang, tapi tak apa mungkin satu hari bila Mama (DSV) dah ambil semula Kelantan mungkin kita boleh 'go forward' dan 'lead' pasukan macam dulu," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram