PASUKAN Divisyen 2 Indonesia, Persatuan Sepak Bola Pekan Baru dan Sekitarnya (PSPS Riau FC) yang dimiliki oleh usahawan Malaysia, Norizam Tukiman mengumumkan sudah membubarkan kelab tersebut secara rasmi pada Sabtu.
Sebelum ini pemilik Kelantan FC, Norizam ataupun mesra dengan panggilan Zamsaham pernah menyatakan akan melepaskan kelab tersebut jika pemilik baharu dapat membayar 81 peratus saham yang bernilai 15 bilion rupiah (RM4.58 juta).
Hasrat Norizam itu akhirnya tercapai apabila menurutnya ada seseorang individu yang akan mengambil alih PSPS Riau dan bakal mengembalikan pasukan itu ke landasan kejayaan.
“Saya Norizam Tukiman, dengan ini menyatakan bahawa PSPS Riau FC sudah berpindah tangan.
“Dan orang yang akan menangani kelab tersebut adalah orang yang tepat untuk meneruskan mimpi saya supaya PSPS Riau FC kembali ke masa kejayaannya.
“Semua bayaran kerosakan kerusi stadium dan bayaran lain semua dijelaskan melalui lawyer yang dilantik iaitu Pak Effendy Shah Putra,” katanya yang juga pemilik Kelantan FC di Facebooknya pada Sabtu.
Pada masa sama, pemilik pasukan TRW itu juga turut memohon maaf kepada seluruh penyokong kelab Indonesia tersebut, selain mengharapkan PSPS Riau akan bertambah lebih baik pada masa hadapan.
Tangkap layar hantaran Zamsaham.
Keputusan tersebut bagaimanapun disambut baik oleh pengikut PSPS Riau yang inginkan perubahan berlaku dalam pasukan itu berikutan rata-ratanya mereka tidak berpuas hati dengan prestasi kelab tersebut sejak diambil alih oleh Zamsaham.
Melihat keputusan drastik yang dibuat Norizam itu, penyokong Kelantan juga sudah membayangkan pasukan Pantai Timur itu turut menerima nasib seperti PSPS Riau berikutan masalah dalaman menimpa skuad TRW.
“PSPS Riau dulu sebelum Kelantan. Sebab itu penyokong sana tidak berapa suka dengan Zamsaham ini,” kata penyokong TRW, Kelantanredwarrior.
“Lebih baik jangan jadi pemilik kelab Indonesia kalau di tempat sebelumnya sudah ada masalah,” kata seorang lagi penyokong, dafa_independent.
“Patutnya dia ini naikkan Kelantan dahulu baru ambil pasukan lain. Ini Kelantan belum ada apa-apa dan nak ambil pasukan lain,” komen penyokong, mohdshhril.
Susulan segala isu dalaman seperti masalah gaji membabitkan Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida terbuka untuk mengambil alih semula Kelantan FC daripada Norizam.
Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd yang juga bekas penaja pasukan skuad TRW itu menyatakan bahawa beliau sudah mempunyai dana untuk pelan 10 tahun akan datang buat Kelantan bagi membantu pasukan tersebut ke tahap lebih selesa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram