[VIDEO] Pukul anak teman wanita sampai berbirat, pemuda 'cabut' di Setapak Jaya diburu polis


  • 112
  • Khamis, 08 Jun 2023

Tangkap layar seorang bayi perempuan mengalami kecederaan di bahagian muka akibat kes penderaan.

KECOH di laman media apabila seorang lelaki didakwa melakukan penderaan terhadap bayi di sebuah kediaman dekat Desa Rejang, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Rabu.

Dimuat naik oleh ibu mangsa, wanita berkenaan menjelaskan bahawa anaknya mengalami kesan lebam dan calar di muka akibat dipukul dengan menggunakan penyangkut baju oleh teman lelakinya.

Dalam pada itu, lelaki berkenaan bertindak melarikan diri ketika menyedari kehadiran kereta peronda polis selepas menghantar kekasihnya pulang ke rumah ibunya di Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

Beberapa keping gambar dimuat naik di laman Facebook memaparkan kesan kecederaan dialami bayi terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan D. Saralathan berkata, polis kini dalam usaha untuk mengesan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Lelaki terbabit melarikan diri sebelum polis tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati punca bayi itu dipukul adalah kerana membuat bising dan ibu bayi berkenaan dikatakan cuba menghalang teman lelakinya itu tetapi tidak berdaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menerusi talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram