[VIDEO] ‘Leher dah tak berbalut’, peminta sedekah patah kaki didakwa terus menipu di Selayang


  • Tular
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Tangkap layar seorang peminta sedekah lelaki yang dikatakan menipu orang ramai di kawasan sekitar Selayang, Selangor.

SEORANG lelaki dipercayai warga asing yang menjalankan kegiatan meminta sedekah dan berniaga barangan cenderahati di perhentian lampu trafik dekat Selayang, Selangor pada Jumaat dilihat mengundang perhatian ramai.

Kegiatan itu yang bukanlah satu perkara baharu di negara ini, dilihat semakin menular apabila pihak terbabit semakin licik mempamerkan taktik serta modus operandi berbeza kali ini.

Suspek yang berkopiah serta bertongkat dirakam menjalankan aktiviti itu di kawasan sekitar Hospital Selayang, Selangor.

Turut mengalami kecederaan di kaki kirinya, situasi itu bagaimanapun telah mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan warganet yang sangsi dengan pergerakan lelaki tersebut.

Meskipun mengalami kecederaan di bahagian buku lali kiri, perbuatan peminta sedekah berkenaan dianggap sebagai satu taktik penipuan apabila masih boleh bergerak dan berpaut menggunakan kakinya yang tercedera.

Rata-rata warganet mengecam perbuatan lelaki terbabit yang dianggap kurang bijak dalam menipu.

"Kalau nak menipu biar la bijak sikit, kaki kiri cedera tapi dia jalan senget belah kanan, macam mana pulak tu," kata Rohmi Supian.

"Leher dah tak berbalut dah ke, sebelum ini kantoi leher sakit kali ini dia balut kaki pula, macam-macam cara dia guna nak minta sedekah tapi masih belum tertangkap," ujar Sufi Yahmeen.

"Memang selalu nampak dekat lampu trafik di Selayang, nak sedekah pun terfikir dua kali kalau macam ni, tapi memang pelik juga kalau fikirkan semula gaya dia berjalan itu," jelas Kak Lida.

Namun, belum ada sebarang kenyataan polis berhubung perkara itu setakat ini dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung rakaman berkenaan.

Sekiranya ada maklumat berkaitan, pihak yang berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram