[VIDEO] Bakal dijel 3 bulan, pelancong tak tahu malu selamba tayang aset tanpa seurat benang di balkoni hotel di Sabah


  • 112
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Tangkap layar seorang pelancong lelaki dirakam berbogel di balkoni sebuah hotel dekat Semporna, Sabah.

SEORANG pelancong lelaki ditahan polis susulan tindakannya yang berbogel di balkoni sebuah bilik hotel dekat Semporna, Sabah dalam kejadian dikatakan berlaku pada Selasa lalu.

Dalam satu rakaman yang tular sejak Khamis itu memaparkan perbuatan individu terbabit yang tenang melakukan perbuatan tidak bermoral itu dari tingkat atas hotel tersebut.

Tidak disedari mana-mana pihak, insiden itu dipercayai berlaku ketika si pelaku sedang berbual dengan seorang individu lain dalam biliknya.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, lebih kurang pukul 9.30 malam pada Khamis, polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna telah membuat tangkapan ke atas seorang pelancong lelaki warga asing berumur 40 tahun di sebuah hotel dalam daerah Semporna.

"Tangkapan tersebut ekoran daripada satu video berdurasi sembilan saat yang menunjukkan seorang lelaki tanpa berpakaian telah keluar ke balkoni sebuah bilik hotel yang menghadap jalan raya.

"Perbuatan lelaki tersebut telah dirakam oleh orang awam yang melalui jalan berhadapan hotel berkenaan sebelum video tersebut tersebar di laman media,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Mohd Farhan, kejadian dipercayai berlaku pada 6 Jun lalu lebih kurang pukul 8.00 pagi.

"Lelaki berkenaan telah ditangkap untuk siasatan di bawah Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan atas kesalahan berkelakuan lucah di tempat awam yang mana jika disabitkan hendaklah dihukum penjara selama tempoh boleh sampai tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

"Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun prosedur jenayah selama empat hari sehingga 12 Jun 2023 untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihak polis memohon orang awam yang merakam kejadian tersebut supaya tampil untuk membantu siasatan.

Sehubungan dengan itu, pihak polis menasihatkan para pelancong supaya mematuhi undang-undang negara serta menghormati adat dan budaya masyarakat tempatan.

"Kerjasama orang ramai dalam usaha mengekalkan keharmonian dan keselamatan daerah Semporna amat dihargai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram