Gandingan 'tua-muda' ditagih, 3 hero Piala Malaysia 2018 wajar disambar skuad Perak


  • Podium
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Prestasi Perak FC kian meresahkan penyokong susulan kekalahan demi kekalahan dialami pada perlawanan musim ini. — Facebook

EMPAT kekalahan berturut-turut dialami skuad Perak FC dalam saingan Liga Super baru-baru ini menunjukkan betapa skuad itu kini berada di bawah tekanan untuk kembali ke prestasi sebenar.

Ditambah pula dengan kemelut dalaman dihadapi pasukan itu, kemasukan Yusri Che Lah sebagai jurulatih sementara yang menggantikan Datuk Lim Teong Kim mengundang keresahan dalam kalangan peminat yang semakin meragui kredibiliti pengendali tersebut.

Selain itu, barisan pemain dimiliki pada musim ini juga dikatakan gagal mempamerkan corak permainan menarik dengan beberapa muka baharu didesak peminat untuk diserap masuk menjelang jendela perpindahan kedua nanti.

Berdasarkan rekod terdahulu, skuad Seladang memiliki ramai pemain ternama berpotensi untuk disenaraikan yang pernah menjulang Piala Malaysia pada 2018 sebelum ini.

Mempunyai corak permainan menarik, skil yang masih tajam di depan pintu gol serta pengalaman meluas di peringkat kebangsaan merupakan antara ciri utama yang dilihat ada pada pemain-pemain berkenaan.

Berikut antara tiga individu yang kian meniti di bibir penyokong berserta faktor yang mempengaruhi kedatangan semula mereka ke Perak.

hafizul

1. Hafizul Hakim

Bekas penjaga gol kelahiran Ipoh, Perak itu sememangnya antara individu berpengalaman yang ditagih semula khidmatnya bersama Perak susulan aksi cemerlang yang pernah dipamerkan ketika menyarung jersi skuad Seladang sebelum ini.

Mula mewakili Perak pada penghujung musim 2014 hingga 2021, kebolehan Hafizul selaku penjaga gawang utama pasukan itu tidak boleh dinafikan lagi dengan pengalaman tertinggi dimiliki bersama pasukan itu adalah ketika di peringkat kelayakan Piala AFC pada 2019.

Namun, kelibat pemain itu kini semakin dilupakan selepas dia mula berhijrah ke Liga M3 bersama pasukan Harini FC.

Berusia 30 tahun dan berketinggian 1.85 meter, kehadiran semula Hafizul di skuad Seladang diyakini mampu membawa perubahan serta menjadi penghadang terbesar di pintu gawang sekali gus memberi saingan kepada beberapa nama penjaga gol lain di kelab lain.

nazirul

2. Nazirul Naim

Seorang lagi pemain yang pernah menjulang Piala Malaysia 2018 bersama skuad Perak sebelum ini adalah pertahanan kental kelahiran Kuala Kangsar, Nazirul Naim Che Hashim.

Nazirul Naim yang merupakan antara tonggak utama skuad ketika di bawah kendalian Mehmet Durakovic, membuktikan dirinya mampu mengatasi segala kekurangan pada musim khususnya di barisan pertahanan yang mudah dibolosi dan rapuh ketika diasak penyerang pasukan lawan.

Kini, pemain itu sedang beraksi bersama pasukan KL City FC namun kelibatnya di atas padang kian terhad selepas hanya mencatatkan lapan penampilan pada musim ini.

kenny

3. Kenny Pallraj

Pemain versatil Kenny Pallraj dilabel sabagai 'pakej lengkap' buat skuad Seladang sekiranya dia diserap semula ke dalam pasukan pada jendela perpindahan kedua liga nanti.

Kebolehannya yang mampu beraksi di tiga posisi berlainan sekali gus menjadi sandaran utama penyokong untuk melihat Perak kembali menyinar seperti di zaman kegemilangannya.

Juga merupakan pemain di KL City FC bersama Nazirul Naim, penampilan Kenny di kelab itu boleh dikatakan sebagai tonggak utama dengan 12 penampilan dan satu bantuan jaringan telah dimiliki setakat ini.

Sekiranya Kenny kembali bersama Perak, Yusri Che Lah pastinya akan lebih mudah untuk menyusun strategi dengan pemain itu boleh diletakkan di posisi pertahanan, pemain tengah dan penyerang utama.

Justeru, melihatkan situasi getir dihadapi skuad Seladang ketika ini, prestasi The Bos Gaurus (TBG) diyakini mampu berubah dan bertambah baik sekiranya ketiga-tiga bekas pemain di atas diserap semula.

Skuad Perak yang kini dibarisi ramai pemain muda pastinya memerlukan bimbingan serta panduan daripada pemain berpengalaman yang mampu membantu pasukan meliputi segala aspek dan gandingan 'tua-muda' tentu membuahkan hasil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram