KEMELUT yang melanda pasukan Perak FC pada musim ini kian meruncing susulan persembahan kurang memberansangkan hingga menyaksikan skuad itu kini di kedudukan keempat tercorot liga.
Ditambah pula dengan kemasukan jurulatih sementara, Yusri Che Lah selepas Datuk Lim Teong Kim direhatkan baru-baru ini, ia sekali gus mengundang kerisauan penyokong menjelang perlawanan berikutnya nanti.
Bakal berkunjung ke Stadium Darul Aman bertemu skuad Kedah FC pada Rabu, harapan peminat untuk menyaksikan kemenangan diraih pada perlawanan itu semakin pudar dengan situasi yang melanda pasukan itu ketika ini.
Enggan menaruh harapan tinggi, rata-rata penyokong hanya mengharapkan skuad Seladang tidak dibolosi dengan jumlah jaringan besar dengan sekurang-kurangnya keputusan seri diharapkan mampu diraih di tempat lawan.
Peminat mengharapkan skuad Perak FC di bawah kendalian Yusri (tengah) tidak tewas dalam jaringan yang besar. — Facebook/PerakFC
"Nak kalah pun biar bawah tiga gol dah lah, kita faham situasi pasukan ketika ini, cuma nak bagitahu kalau nak menang buat cara nak menang, nak kalah buat cara nak kalah...atas tiga pun tak apa," ujar Khairul Airul.
"Bolos dengan tiga jaringan pun dah memadai, jangan lebih daripada itu, kami sedia terima kekalahan tapi bukan dengan jumlah besar," kata Hazwan Aril.
"Kalah itu sudah pasti, cuma jaringan yang masih kita tak tahu, jadi harapnya taktikal permainan berubah terutamanya di barisan pertahanan untuk elak dibolosi," jelas Alias Razak.
Dalam pada itu, segelintir penonton beranggapan sekiranya Perak mampu meraih keputusan seri, ia adalah satu rahmat buat permulaan pasukan itu di bawah kendalian Yusri.
Bersikap realistik dalam perlawanan kali ini, hanya keputusan seri yang diharapkan mampu diperoleh skuad Seladang ketika bertemu Kedah.
"Dapat seri pun dah seribu rahmat, kalah itu biasa, menang hampir mustahil buat Perak dalam situasi sekarang," kata Zayree Hasyim.
"Dengan Kedah memang lagi susah kita nak menang, paling kuat Yusri boleh bagi keputusan seri saja lah setakat ini dan itu juga yang diharapkan penyokong," ujar Halid Shameer.
Seperti sudah lali dengan kekalahan demi kekalahan, tiada apa lagi yang diharapkan oleh peminat Perak yang melihat perjalanan skuad Seladang saling tidak tumpah 'bagai telur di hujung tanduk' pada musim ini.
Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk pasukan itu dihukum dengan baki saingan liga musim ini masih lagi panjang dan semestinya, kemasukan pengendali berpengalaman yang juga merupakan bekas pemain Perak itu diharapkan mampu mengubah nasib skuad Seladang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram