Kelibat wajah 'baharu' di padang latihan, JDT pertaruh senjata rahsia jumpa skuad Penyu


  • Podium
  • Rabu, 07 Jun 2023

Kelibat Ziad El Basheer (kiri) di sesi latihan mengundang seribu satu persoalan dalam kalangan penyokong Harimau Selatan. — Facebook/JDT

SKUAD Johor Darul Takzim (JDT) dijangka akan menurunkan pemain baharu dalam perlawanan seterusnya nanti apabila bakal bertemu Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 9 Jun depan.

Ia susulan perkongsian gambar dimuat naik di laman Instagram Johor Southern Tigers yang menyaksikan kelibat seorang pemain muda dari skuad JDT II sedang giat berlatih sama dengan skuad utama.

Sesi latihan itu yang dipercayai merupakan salah satu persiapan pasukan untuk berhadapan dengan skuad Penyu di tempat lawan, mengundang perhatian ramai apabila Ziad El Basheer turut dilihat beraksi bersama Matthew Davies.

Menganggap ia sebagai salah satu resipi rahsia skuad JDT pada perlawanan nanti, pemain tengah berusia 19 tahun itu dijangka bakal diturunkan selaku senjata baharu Harimau Selatan bagi mengucar-ngacirkan gawang Terengganu kelak.

jdt 1

Pemain JDT sedang giat membuat persiapan bagi menghadapi perlawanan berikutnya menentang Terengganu FC. — Facebook/JDT

Dalam pada itu, beberapa faktor menjadi taruhan peminat yang mahu menyaksikan pemain itu disenaraikan dalam skuad utama JDT. Berikut merupakan empat perkara yang diyakini mampu menjadi modul serta senjata baharu pasukan menerusi pemain tersebut.

1. Kelainan di posisi tengah

Aksi Ziad El Basheer mungkin boleh menjadi pencetus kepada pembaharuan dalam taktikal permainan JDT khususnya di barisan tengah yang amat penting bagi sesebuah pasukan.

Tidak dinafikan bahawa skuad utama JDT sememangnya dibarisi ramai pemain ternama lebih-lebih lagi barisan import dimiliki, namun kelainan dimiliki Ziad pastinya satu perkara yang boleh dicuba pasukan dengan gandingan pemain baharu dan lama dipercayai boleh membuahkan hasil di atas padang.

Arif Aiman dan Ramadhan Saifullah boleh dijadikan contoh dalam situasi ini dengan kedua-duanya juga diserap masuk seawal usia belasan tahun dari Akademi JDT sebelum ini.

2. Usia muda

Dengan usia 19 tahun yang boleh disifatkan sebagai 'ubi muda' dalam pasukan, kelibat pemain itu dijangka mampu menjadi pelapis baharu Harimau Selatan bersama beberapa lagi nama besar di skuad utama.

Meskipun masih kekurangan dari segi pengalaman, peluang serta kepercayaan harus diberikan kepadanya untuk membuktikan sesuatu bersama pasukan utama.

Ditambah pula tenaga 'orang muda' dimiliki, Ziad dikatakan mempunyai larian serta kawalan bola licik yang boleh digandingkan dengan pemain berpengalaman, Syamer Kutty di barisan tengah.

ziad hm

Ziad El Basheer pernah menjulang kejuaraan bersama skuad kebangsaan di Kejohanan AFF B19 2022. — FAM

3. Kemampuan dibuktikan dalam Kejohanan AFF B19 2022

Berjaya menjulang skuad kebangsaan dalam kejohanan AFF B19 pada tahun lalu membuktikan betapa pemain ini mempunyai kredibiliti dan potensi besar untuk dikembangkan bakatnya pada masa depan.

Merupakan graduan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ziad El Basheer antara tonggak utama pasukan di kejohanan tersebut dengan kelibatnya sentiasa menjadi ancaman terbesar buat pasukan lawan.

Menewaskan skuad Laos dengan keputusan 2-0 di final, pemain JDT II itu antara individu yang banyak menyumbang kepada pasukan menerusi hantaran serta kawalan bola licik dipamerkan.

Kerap membantu pasukan ketika bertahan, Ziad memiliki larian serta kawalan bola kemas yang mampu mengubah corak permainan untuk bergerak dengan lebih kemas dan terancang di bahagian tengah.

4. Kejutan buat pasukan lawan

Dengan aksinya yang kurang mendapat perhatian dalam kalangan peminat, ia pastinya satu perkara menarik untuk disaksikan oleh penonton mahupun pasukan lawan yang tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan dirinya.

Jika sebelum ini beberapa nama besar seperti Bergson da Silva, Leandro Velazquez dan Akhyar Rashid sudah boleh dibaca kebolehan mereka, namun kemampuan dimiliki Ziad pastinya menjadi rahsia utama skuad untuk memberikan kejutan serta ancaman terhadap kubu pasukan lawan.

Kekurangan pendedahan dari segi laporan media ataupun di laman media pastinya menjadi resepi rahsia buat JDT menampilkan pemain itu dalam perlawanan akan datang sekali gus mencipta satu lagi fenomena selepas kejayaan ditempah Arif Aiman sebelum ini.

Justeru, aksi pertemuan JDT dan skuad Penyu nanti pastinya bakal menjadi medan tumpuan peminat untuk menyaksikan kelibat pemain itu diturunkan dalam skuad utama Harimau Selatan.

Cepat ataupun lambat, nama Ziad El Basheer sudah mula meniti di bibir penonton dan aksinya akan sentiasa dinantikan bagi membawa perubahan dalam pasukan kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram