[VIDEO] Skil mengalahkan ‘King’, pemandu sanggup lawan arus tak sabar lampu isyarat bertukar hijau di Muar


  • Tular
  • Ahad, 04 Jun 2023

Tangkap layar sebuah kenderaan memandu secara melawan arus di Muar, Johor pada Ahad.

SEORANG pemandu kereta dirakam memandu secara berbahaya apabila bergerak melawan arus dari arah bertentangan di sebuah jalan raya dipercayai dekat Muar, Johor pada Ahad.

Dalam insiden itu, kereta berwarna hitam itu dilihat memandu laju di laluan dua hala berkenaan sebelum menerjah masuk ke lorong bertentangan.

Didatangi beberapa buah kenderaan lain, pemandu terbabit kemudiannya mula memperlahankan pemanduan dan berhenti di bahu jalan selepas laluan itu bertukar sesak.

Menyedari situasi itu, si pemandu dilihat enggan mengalah sebaliknya terus bergerak melawan arus ketika kejadian.

Memandu secara perlahan di bahu jalan, kereta berkenaan memecut laju sebaik laluan itu bebas daripada sebarang kenderaan sekali gus memotong barisan panjang di lampu isyarat yang ketika itu masih merah.

Kelakuan itu nyata mengundang 1,001 kemarahan dalam kalangan warganet yang mempertikaikan soal keselamatan dan sikap tidak bertanggungjawab pemandu terbabit.

"Macam ini punya perangai pun ada, sanggup bahayakan diri sendiri semata-mata nak potong lampu trafik merah, orang lain pun boleh terlibat kemalangan sama," kata Naziruddin Aqil.

"Skil mengalahkan 'King' Myvi, elok je dia bawa perlahan guna laluan tepi bahu jalan, bila tak ada kereta dia pecut tinggalkan semua," ujar Imran Hanif009.

Dalam pada itu, tidak kurang juga yang menggesa agar polis mengambil tindakan terhadap pemandu tersebut.

"Memandu secara bahaya macam ini mana boleh, kalau apa-apa hal orang yang betul pun boleh terkorban disebabkan sikap pemandu itu, mohon polis tangkap je dia," jelas Rahimah Mansyur.

"Tunggu video sampai dekat polis, memang kena angkut la pemandu itu nanti," tambah Mohd Zaki Bunta.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram