[VIDEO] Dahan pokok gugur tiba-tiba, pemandu kecewa cermin kereta 'bau kedai' retak di Sungai Karang


  • Tular
  • Selasa, 06 Jun 2023

Sebuah kereta mengalami keretakan di bahagian cermin hadapan selepas dihempap dahan pokok di jalan pintasan Sungai Karang, Kuantan, Pahang. — Facebook

SEORANG pemandu lelaki mengharungi detik getir apabila cermin hadapan keretanya retak dan pecah akibat dihempap dahan pokok ketika memandu di laluan pintasan dekat Sungai Karang, Kuantan, Pahang pada Isnin.

Lebih menyedihkan, kereta tersebut difahamkan baru sahaja dibeli oleh si pemilik sehari sebelum kejadian dan insiden itu nyata sukar untuk diterimanya.

Dalam satu rakaman kamera dashcam yang dikongsikan di laman Facebook, memaparkan kejadian tersebut berlaku ketika kenderaan itu dipandu dengan kelajuan 93 kilometer (km) sejam.

Meluahkan kekecewaannya di laman Facebook, pemilik menggesa agar pihak berkuasa sentiasa peka dengan tahap keselamatan pemandu khususnya pokok dan dahan yang sudah reput di sekitar laluan berkenaan.

"Harap pihak berkuasa yang bertanggungjawab di jalan Sungai Karang ni ambil cakna tentang pokok yang reput.

"Boleh bayangkan tak kalau pokok ini tumbang waktu malam dalam keadaan jalan yang tiada lampu dan penunggang motor yang langgar.

"Hari ini saya yang langgar, cermin pecah, kalau motosikal memang tak dapat bayangkan.

"Mohon pihak berwajib tebang pokok-pokok yang berpotensi mereput, ini silap-silap saya nak tuntut insurans pun tak dapat," jelasnya.

Dalam pada itu, pemandu berkenaan difahamkan akan membuat laporan terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) susulan kejadian yang menimpa dirinya.

Namun, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak berkaitan setakat ini dan pemandu lain dinasihatkan sentiasa berhati-hati sekiranya memandu di kawasan terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram