[VIDEO] Ibrahimovic umum bersara, tapi kena 'boo' dengan penyokong lawan


  • Podium
  • Isnin, 05 Jun 2023

Ibrahimovic merupakan seorang pemain yang cukup dikenali di peringkat global. — Agensi

PENYERANG antarabangsa Sweden, Zlatan Ibrahimovic akhirnya memilih untuk menamatkan kariernya pada usia 41 tahun dalam satu pengumuman rasmi pada awal pagi Isnin.

Pemain yang merekodkan 511 jaringan dalam kesemua 866 penampilannya sejak bergelar profesional berkata demikian selepas aksi terakhir Serie A, AC Milan menentang Hellas Verona.

Kontraknya bersama kelab gergasi Itali itu difahamkan akan tamat pada bulan Jun, namun minit permainannya sedikit terhad musim ini akibat kecederaan.

"Saya mempunyai pelbagai pengalaman dan kenangan di sini (Milan). Kali pertama saya tiba di sini, saya diberikan kegembiraan, namun kali kedua, saya diberikan cinta daripada anda semua.

"Saya hendak berterima kasih kepada keluarga saya, kepada semua yang rapat dengan saya ke atas kesabaran. Saya juga mahu berterima kasih kepada coach (Stefano) Pioli atas kepercayaan yang diberikan," katanya.

Dalam perlawanan terakhir Serie A musim 2022/23 itu, AC Milan mencatatkan kemenangan ke-20 mereka musim ini dengan keputusan 3-1 di laman sendiri.

Jaringan daripada penyerang antarabangsa Perancis, Olivier Giroud meletakkan mereka di hadapan sebelum Rafael Leao juga tampil dengan dua gol peribadi.

Bagaimanapun, ucapan yang dibuat Ibrahimovic di Stadium San Siro, Milan itu sedikit dicemari dengan ejekan daripada penonton lawan.

Ini kerana penyerang bertubuh sasa itu cukup dikenali dengan personaliti angkuh sejak memulakan kariernya bersama kelab Sweden, Malmo FF.

Namun, perkara tersebut pastinya tidak memberi kesan terhadap perasaannya apabila dia sebaliknya berkata, ia merupakan momen terbaik buat mereka.

Selain mewakili AC Milan, Ibrahimovic juga pernah menyertai beberapa kelab lain, termasuk Inter Milan, Barcelona dan Manchester United.

Koleksi trofinya juga sememangnya tidak mengecewakan apabila dia berpeluang menjulang lima kejuaraan Serie A, satu gelaran Liga Europa UEFA serta kejuaraan La Liga bersama Barcelona. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram