Tinggi lampai di usia 21 tahun, penyokong jangka 'Ibrahimovic' Pahang bakal ubah percaturan Dollah Salleh


  • Podium
  • Isnin, 03 Okt 2022

Ibrahim (tengah) juga merupakan tonggak utama skuad Pahang ketika kempen Sukma 2022. — Facebook/Sri Pahang

PESTA gol 4-1 yang dilakar Sri Pahang FC ke atas Sarawak United sememangnya dapat menebus kekecewaan skuad Tok Gajah selepas tewas dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum ini iaitu ketika berdepan Terengganu FC (TFC) 1-2 dan Kuala Lumpur City FC (0-2).

Perlawanan yang diadakan di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak itu menyaksikan anak-anak buah Datuk Dollah Salleh mempamerkan semangat juang tinggi walaupun beraksi sebagai pasukan pelawat.

Gol-gol skuad Tok Gajah dijaringkan oleh David Rowley pada minit ke-37, Steven Rodriguez (56 dan 78) serta jaringan dari pemain tengah, Zuhair Aizat pada minit akhir perlawanan.

Selain prestasi cemerlang yang ditunjukkan di padang, seorang pemain muda dari skuad Piala Presiden Sri Pahang mencuri perhatian penyokong apabila memulakan penampilan pertama bersama pasukan senior.

Ibrahim Manusi merupakan tonggak utama skuad Pahang ketika kempen Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dan pemain penting yang membawa Sri Pahang dinobatkan naib johan Piala Presiden 2022.

ibrahim

Ibrahim melakukan debut bersama Sri Pahang sewaktu perlawanan menentang Sarawak United. — Facebook/Sri Pahang

“Debut Skuad Senior Ibrahim Manusi. Ibrahim menyambut hari kelahiran ke-21 pada hari semalam (Jumaat), hari ini (Sabtu) beliau melakukan debut skuad senior Sri Pahang FC. Hadiah hari lahir yang bermakna buat beliau. Tahniah,” tulis penyokong Pahang FC, Tok Gajah.com.

“Pemain Pahang nama Ibrahim Manusi itu berapa umur dia ? Kalau umur bawah 21 tahun dah boleh main begitu rasanya Ibra akan mempunyai karier bola sepak yang panjang andainya tidak mengalami kecederaan serius.

“Apa pun kehadiran Ibra dalam skuad utama Sri Pahang mungkin akan merubah percaturan taktikal Datuk Dollah Saleh kerana skill Ibra boleh digunakan untuk menghambat orang manakala pemain Malaysia pula hanya perlu fokus kepada tugas menyerang,” sokong penyokong Pahang, Panthera Tigris Jacksoni.

Selain itu, ketinggian dan susuk fizikal Ibrahim mengundang perhatian ramai dengan penyokong Tok Gajah melakukan perbandingan pemain muda itu dengan bintang Eropah, Zlatan Ibrahimovic. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram