Dollah Salleh 'dinasihat' jangan peram Zlatan versi Tok Gajah


  • Podium
  • Khamis, 20 Okt 2022

Ibrahim pernah digelar 'Ibrahimovic' Pahang setelah melakukan debut pertamanya bersama skuad senior pada 1 Oktober lalu. — Facebook/Sri Pahang

KEHANGATAN kejohanan Piala Malaysia yang dijadualkan membuka tirainya pada 26 Oktober nanti semakin dirasai setelah kebanyakan pasukan Liga Malaysia (Liga M) terlibat mula merombak semula barisan pemain dan kejurulatihan mereka.

Setakat ini, pasukan Perak FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC telah menamatkan khidmat kejurulatihan mereka dan bakal menjadikan Piala Malaysia sebagai medan 'uji kaji' pertama kejurulatihan baharu mereka.

Bagi pasukan Sri Pahang FC, fasa penukaran jurulatih telah berlaku pada pertengahan musim liga setelah pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Tok Gajah pada Julai lalu.

Dengan prestasi Sri Pahang FC yang semakin memberangsangkan di bawah kendalian Dollah, skuad Biru Kuning itu dilihat selesa untuk membuat sedikit perubahan pada barisan pemain mereka menjelang Piala Malaysia nanti.

Dalam satu muat naik di laman media sosial, Sri Pahang FC seperti memberi bayangan bahawa bakal membawa seorang ubi ke dalam saingan Piala Malaysia nanti apabila memuat naik gambar-gambar pemain tersebut dengan kapsyen: "Bintang baru dalam pembikinan, namanya Ibrahim Manusi."

Sosok tubuh Ibrahim yang tinggi lampai menarik perhatian penyokong. — Facebook/Sri Pahang

Muat naik tersebut mendapat reaksi positif penyokong skuad Tok Gajah yang rata-rata meramalkan bahawa pemain muda berusia 21 tahun tersebut bakal ditampilkan bersama skuad senior Sri Pahang FC pada misi penting kali ini.

Untuk rekod, Ibrahim pernah mencuri perhatian apabila membuat penampilan pertama bersama pasukan senior pada aksi Sri Pahang FC menentang Sarawak United FC pada 2 Oktober lalu.

Ibrahim merupakan tonggak utama skuad Pahang ketika kempen Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dan pemain penting yang membawa Sri Pahang FC dinobatkan naib johan Piala Presiden 2022.

Selain itu, ketinggian dan susuk fizikal Ibrahim mengundang perhatian ramai dengan penyokong Tok Gajah melakukan perbandingan pemain muda itu dengan bintang Eropah, Zlatan Ibrahimovic.

Ibrahim melakukan debut bersama Sri Pahang sewaktu perlawanan menentang Sarawak United. — Facebook/Sri Pahang

Penyokong Sri Pahang FC, Ali Zam berharap Dollah Salleh tidak lagi menurunkan muka sama dan berikan peluang kepada anak muda mengutip minit permainan.

"Fizikal dah bagus. Cuma kena kerap diturunkan semasa perlawanan. Bagi dia yakin dan serasi dgn pemain-pemain senior skuad Sri Pahang FC," katanya.

Rustam Min menyambung: "Pertama kali tengok dia main dulu memang OK, tapi tu lah masalahnya, main pun beberapa minit sebelum perlawanan berakhir.

"Kalau duduk peram kat bangku simpanan dan jarang-jarang bagi peluang bermain tak guna juga walaupun berbakat sekali pun," tegas Mohd Ridhuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram