Mungkin terlepas aksi Piala FA, jeneral tengah Gergasi Merah dapat suntikan semangat 2 tonggak NSFC


  • Podium
  • Sabtu, 03 Jun 2023

Brendan berkemungkinan besar tidak diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Merah Kuning menentang JDT dalam saingan Piala FA pada 26 Jun nanti.

SELANGOR FC dijadualkan menentang pasukan Gergasi Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi separuh akhir Piala FA.

Pertembungan dua kelab itu bakal memberikan saingan yang sengit kerana kedua-duanya kini dikatakan berada pada tahap terbaik mereka.

Justeru itu, pastinya para penyokong tegar pasukan The Red Giant mahukan pemain terbaik mereka diturunkan bagi menghadapi serangan berbisa skuad Harimau Selatan.

Baru-baru ini, rata-rata peminat menyatakan keterujaan mereka apabila melihat kapten Selangor FC, Brendan Gan turut menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan seperti yang dikongsikan menerusi laman Facebook Selangor FC.

Pastinya, tidak sedikit yang menaruh harapan agar Brendan beraksi dalam saingan Piala FA menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 Jun nanti.

Namun begitu, kecederaan yang menimpa pemain Malaysia kelahiran Australia itu menyebabkan dia berkemungkinan besar tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Merah Kuning.

Jika bermain sekalipun, dia mungkin hanya akan diletakkan di bangku simpanan bagi menjaga prestasi dan kecergasan fizikalnya.

Jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe juga pasti tidak akan merisikokan pemain yang baru pulih itu untuk beraksi di atas padang selama 90 minit.

Tangkap layar Insta Story Sean pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, meskipun pemain kebangsaan itu kini sedang memberi fokus untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaiknya semula, dia juga pasti tidak akan melepaskan peluang menyambut hari kelahirannya yang ke-35.

Brendan setakat ini masih belum memuat naik sebarang hantaran mengenai hari bermaknanya itu, namun para peminat dan rakan-rakan seperjuangan dilihat sudah memeriahkan laman media sosial dengan ucapan hari lahir buat dirinya.

Antaranya, Sean Eugene Selvaraj menerusi Insta Story pada Sabtu mendoakan agar rakannya itu akan membuat kemunculan semula atau comeback selepas sembuh daripada kecederaan yang dialaminya.

"Selamat hari jadi Mr Incredible. Have a speedy recovery my g. Can't wait for yet another big comeback. Take care granny," ucapnya.

"You'll alwayas be one of my favourite people on the planet. Happy birthday, brother," tulis Shahrel Fikri Fauzi pula.

Tangkap layar Insta Story Shahrel pada Sabtu.

Untuk makluman, dua tonggak Negeri Sembilan FC (NSFC) itu merupakan bekas rakan sepasukannya di Selangor FC.

Malah, Brendan dan Shahrel atau lebih mesra disapa 'Eky' juga sebelum ini pernah bermain bersama-sama di bawah skuad The Bos Gaurus.

Walaupun tidak lagi bersama dalam satu skuad, hubungan persahabatan antara ketiga-tiganya masih kuat apabila mereka dilihat sering menyuntik kata-kata semangat buat Brendan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram