"HUJAN emas di negeri orang. Hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri."
Itulah peribahasa yang sesuai untuk perkembangan bola sepak Malaysia, apabila banyak pemain warisan yang mahu pulang dan berbakti dengan negara ini.
Bintang terbaharu ialah pemain kacukan England-Malaysia, Richard Chin mengakui dia sememangnya teruja untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan secepat yang mungkin.
Bagaimanapun Richard perlu melengkapkan proses dokumentasinya terlebih dahulu dan berharap dapat diselesaikan dengan lancar bagi membuka peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya untuk kejohanan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung di Doha, Qatar pada Januari 2024.
Richard kini berada di Malaysia dan akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk proses dokumentasi sambil mengambil peluang untuk menghabiskan cuti di negara ini sebelum kembali ke England untuk memulakan latihan pra-musim bersama kelabnya Charlton Athletic.
Richard Chin kini mewakili Charlton Athletic. — Agensi
Dengan rata-ratanya pemain kebangsaan kini sudah pun meningkat usia, jadi kehadiran Richard ini pastinya memberi kelegaan kepada penyokong tentang pelapis skuad negara.
Baru-baru ini seorang pemain kacukan yang sedang beraksi di Belanda telah mendapat perhatian orang ramai apabila dia dikatakan mempunyai pertalian darah dengan negara ini menerusi ibunya.
Pemain tersebut ialah Joshua Rawlins yang kini sedang beraksi bersama skuad muda FC Utrecht Bawah 21 (B-21) di Liga Belanda.
Menerusi perkongsian @lineup.hm di Instagram, Rawlins yang berusia 19 tahun kini sedang menjalani latihan bersama skuad Australia B-23.
Selain Australia B-23, Rawlins turut pernah tersenarai dalam skuad Australia B-17 dan B-20 yang mana menyaksikan dia beraksi di posisi pertahanan kanan serta bek tengah.
Joshua Rawlins. — Agensi
Rawlins didakwa mempunyai pertalian darah dengan negara ini melalui ibunya bakal mengikuti jejak pemain warisan Australia-Malaysia yang lain seperti Matthew Davies, Brendan Gan dan Quentin Cheng.
Namun hasrat untuk melihat dia menyarung jersi Harimau Malaya mungkin agak sukar kerana Rawlins sememangnya pemain 'regular' bagi skuad muda Australia yang mana tidak mustahil menyaksikannya tembus ke pasukan kebangsaan The Socceroos itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram