SELANGOR FC kini menduduki tangga kedua Liga Super dengan merekodkan 28 mata dan mencatatkan 12 kemenangan, sembilan seri dan satu kekalahan dalam 12 aksi yang dipamerkan setakat ini.
Untuk rekod, skuad Merah Kuning itu dijadualkan menerima kunjungan PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.
Menerusi pertembungan itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu dijangka dapat membesarkan jurang kedudukan dengan Sri Pahang FC sekiranya berjaya mencetak gol kemenangan pada aksi berkenaan.
Sebelum ini, peminat meluahkan kekecewaan atas ketiadaan pemain Malaysia kelahiran Australia, Brendan Gan dalam perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 24 Mei lalu.
Ketiadaannya disebabkan faktor kesihatan itu jelas memberi kesan terhadap kestabilan di atas padang memandangkan pemain berkenaan memberikan stabiliti dari segi serangan.
Justeru, pemain berketinggian 178 sentimeter itu pasti diperlukan bagi memberi tentangan yang hebat buat skuad Sang Saka Biru.
Aksi Brendan ketika sesi latihan sebelum bertemu PDRM FC pada Sabtu. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, kerisauan peminat akhirnya terubat apabila pemain berusia 34 tahun berkenaan dijangka akan turun padang bagi mengetuai The Red Giants menentang pasukan The Cops.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor FC pada Rabu, laman itu memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan para pemain sedang giat berlatih bagi mempersiapkan diri menjelang perlawanan nanti.
Kehadiran Brendan pastinya antara sosok yang berjaya mencuri tumpuan peminat yang mengharapkan kapten kesayangan mereka beraksi pada Sabtu ini.
Ramai dalam kalangan mereka yang mengucapkan selamat kembali kepada Brendan dan berharap kemunculannya itu akan merancakkan lagi aksi pasukan di atas padang.
"Kapten kita dah kembali, kalahkan Johor Darul Takzim (JDT). Kita boleh lakukannya," ujar Azri Hasif.
"Selamat kembali kapten," tulis Muhammad Hamdi Amir Hamzah.
"Semoga cepat sembuh kapten," kata Harul Azrif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram