PENYERANG skuad kebangsaan, Darren Lok tidak dapat beraksi bersama pasukan Sabah FC yang menyebabkan pasukannya itu terpaksa pulang dengan kekecewaan ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam perlawanan ke-13 Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat.
Darren Lok dikhabarkan mengalami kecederaan yang menjadi faktor pemain berusia 31 tahun itu tidak dapat membantu mempertajamkan jentera serangan skuad Sang Badak.
Bukan itu sahaja, Darren juga berkemungkinan tidak dapat beraksi bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan Kepulauan Solomon yang bakal berlangsung 14 Jun depan.
Shahrel Fikri menampilkan prestasi cemerlang musim ini bersama NSFC. — Instagram / shahrelfikri10
Oleh itu, ramai penyokong menginginkan khidmat bekas pemain Selangor FC, Shahrel Fikri untuk menjadi pilihan utama pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk diturunkan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa tersebut.
Sebelum ini, Shahrel Fikri atau lebih dikenali sebagai Eky dibelenggu masalah kecergasan berikutan mengalami kecederaan serius yang menyebabkan dia terpaksa direhatkan sementara waktu daripada beraksi di padang.
Tangkap layar memaparkan Eky mengidolakan Brendan Gan sejak mereka berkhidmat di Perak FC. — Instagram / shahrelfikri10
Walaupun mengalami kecederaan serius namun bekas penyerang skuad kebangsaan itu tetap meneruskan impiannya itu untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional dan menjadikan pemain tengah, Selangor FC Brendan Gan sebagai sumber inspirasi.
Seperti diketahui, Brendan juga bergelut dengan masalah kesihatan apabila disahkan menghidap kanser namun berjaya membuat comeback hingga dia menempatkan diri dalam kesebelasan utama skuad Merah Kuning serta terpilih ke skuad kebangsaan.
Hal ini kerana, Eky dan Brendan Gan pernah bermain bersama-sama ketika dalam skuad Gergasi Merah sebelum pemain berusia 28 tahun itu memulakan karier dalam pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) awal musim ini.
Mereka terdahulu bersama-sama sebagai rakan sepasukan di Perak FC pada musim 2019.
"Boleh try Eky, dia pon nampak perform dengan Negeri Sembilan FC, bagi dia peluang" kata idhamtaufeq.
"Boleh try call up Shahrel Fikri," kata fir.az.
"Bila FAM umum list player ? Harap ada nama Eky, tengah on form itu," kata mhdazamm.
Untuk musim 2023, pemain dengan ketinggian 1.8 meter itu diramal mampu mendapatkan semula rentak serta prestasi cemerlangnya seperti musim-musim sebelum ini.
Pemain kelahiran Sabah itu turut merekodkan empat gol dan satu hantaran bantuan dalam saingan Liga Super dan satu gol dalam perlawanan Piala FA dengan sebanyak 11 penampilan ketika beraksi bersama skuad NSFC musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram