Kelantan FC perlu jadikan 3 kelab Liga M sebagai iktibar sebelum terjerat


  • Podium
  • Rabu, 31 Mei 2023

Kelantan FC terus bergelut untuk mendapatkan rentak selepas kemelut di luar padang mengeruhkan keadaan. — Facebook/TRW Kelantan FC

SABAN hari, penyokong bola sepak tempatan terpaksa berdepan berita yang cukup mengecewakan mengenai masa depan serta situasi semasa Kelantan FC.

Mereka yang boleh dikategorikan sebagai salah sebuah pasukan dengan cita-cita besar cukup mengujakan penyokong skuad The Red Warriors (TRW).

Manakan tidak, mereka yang terpaksa beraksi di Liga Perdana sejak 2019 mula memasang hasrat untuk muncul sebagai antara pasukan pencabar musim ini.

Namun, memasuki separuh kedua musim 2023, kelab Pantai Timur itu semakin ketinggalan berbanding pasukan lain, baik di dalam mahupun luar padang.

Empat mata yang diraih hasil satu kemenangan dan satu keputusan seri meletakkan mereka di tangga kedua tercorot Liga Super dengan hanya satu mata dibezakan dengan pasukan di tangga ke-14, Kelantan United FC.

Tetapi, apa yang lebih mengecewakan adalah mengenai status mereka di luar padang apabila pelbagai isu dan masalah mula dibongkarkan hari demi hari.

Kelewatan pembayaran gaji, ketiadaan fasiliti mencukupi dan beberapa kontroversi lain jelas menconteng arang ke muka penyokong dan pihak pengurusan.

Masalah berkenaan pastinya sekali lagi mencalarkan imej dan reputasi bola sepak tanah air yang sedang dalam landasan terbaik untuk muncul sebagai salah satu liga terbaik di rantau Asia Tenggara.

Namun, perlu diingatkan bahawa perkara sebegini bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan wujudnya beberapa pasukan sebelum ini pernah berdepan nasib sama.

Jadi, sekiranya Kelantan FC berhasrat untuk memperbaiki kedudukan dan situasi mereka, terdapat tiga kelab terdahulu yang sesuai dijadikan rujukan selepas pernah terpalit dengan isu serupa.

1. Melaka United

Musim lalu, Melaka United juga boleh dilabel sebagai salah sebuah kelab dengan perbelanjaan terbaik selepas melakukan proses rekrut berkualiti sepanjang jendela perpindahan.

Kehadiran penyerang berbisa, Ifedayo Olusegun cukup mengujakan buat penyokong skuad Hang Tuah memandangkan pemain itu mempunyai reputasi cukup baik sepanjang beberapa tahun di Liga Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, keberadaan beberapa import berkualiti, termasuk Sony Norde dan Adriano Narcizo meningkatkan lagi tarikan kelab berkenaan.

Namun, pasukan Selatan tanah air tersebut memulakan musim dengan langkah kiri apabila hanya mencatatkan empat mata daripada lima perlawanan.

Ia diburukkan lagi dengan laporan media tempatan yang mengatakan beberapa pemain dikhabarkan tidak dibayar gaji sehingga tertunggak tiga bulan.

1801864

Melaka United mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan musim lalu. Facebook/Melaka United FC

Hal berkenaan menemui kemuncak apabila pendedahan daripada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengatakan pihak pengurusan Melaka United berhutang sebanyak RM2.3 juta.

Kemelut terbabit akhirnya menemui jalan buntu apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyekat mereka daripada menyertai Liga Super.

Kini, Melaka United hanya dikenali sebagai Melaka FC yang bertanding dalam kancah Liga M3 dengan status amatur selepas rombakan pihak pengurusan dibuat.

Bagaimanapun, isu kewangan dan tunggakan gaji difahamkan masih belum diselesaikan memandangkan beberapa pemain masih belum berputus asa untuk menuntut hak masing-masing.

2. Sarawak United

Selain Melaka United, sebuah lagi pasukan turut terpalit dengan isu di luar padang, iaitu Sarawak United dengan masalah berkenaan cukup merugikan kelab tersebut.

Walaupun tidak memiliki nama-nama besar, kebolehan mereka untuk menamatkan saingan Liga Perdana 2021 di tangga naib johan sedikit sebanyak meningkatkan reputasi pasukan.

Tetapi, seperti mana nasib skuad Hang Tuah, pasukan Borneo tersebut terus bergelut selepas mengalami kekalahan demi kekalahan dalam Liga Super.

Keputusan yang cukup memalukan selepas tewas 0-6 kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan kedua musim 2022 seperti mengesahkan nasib kelab itu yang mula rapuh di sebalik tabir.

WhatsApp Image 2023-05-30 at 22.42.10

Sarawak United menamatkan saingan Liga Super di tangga tercorot musim lalu. Facebook/Sarawak United FC

Perkara tersebut diburukkan apabila kapten pasukan, Boris Kok mendedahkan bahawa mereka tidak dibayar gaji mencukupi sehingga mengganggu kebajikan masing-masing.

PFAM sekali lagi terpaksa campur tangan dalam situasi berkenaan apabila laporan mengatakan jumlah keseluruhan tunggakan bayaran sudah mencecah RM400,000 pada Januari 2023.

Malah, situasi berkenaan turut menerima perhatian pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang mendesak agar isu berkenaan diselesaikan.

Namun, amaran demi amaran yang diberikan kepada pihak pengurusan skuad Ngap Sayot seperti tidak diendahkan sehingga kelab itu turut berdepan sekatan daripada MFL dan FAM sebelum permulaan musim lalu.

Kini, Sarawak United masih beraksi dalam landskap bola sepak tanah air di samping Melaka FC dalam Liga M3, tetapi masih gagal untuk mencatatkan sebarang kemenangan.

Dari segi tunggakan gaji pula, laporan mengatakan sebahagian besar pemain musim lalu belum menerima bayaran penuh dengan tuntutan masih giat dilakukan, lebih-lebih lagi di media sosial.

3. Perak FA

Pada musim 2018, Perak FA muncul sebagai salah sebuah pasukan terbaik selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua di belakang JDT.

Namun, apa yang lebih mengharumkan buat skuad The Bos Gaurus (TBG) pada tahun terbabit adalah apabila mereka menjulang Piala Malaysia.

Kejayaan tersebut menyebabkan rata-rata penyokong meletakkan harapan cukup tinggi buat pasukan Utara tanah air itu untuk kekal di puncak bola sepak tanah air.

Bagaimanapun, panas yang disangka kekal hingga ke petang tidak kesampaian apabila perubahan pengurusan menimbulkan pelbagai isu.

Campur tangan politik menyebabkan Perak FA tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh sehingga mereka dikenakan denda daripada FAM dan MFL setiap musim.

Malaysia Cup winner Perak celebrate during the final of Malaysia Cup against Terengganu at Shah Alam stadium  ..  - 27 Oct 2018 M.Azhar Arif

Perak FA pernah muncul sebagai antara pasukan terbaik bola sepak tempatan.

Lebih teruk lagi, kesukaran kelab itu untuk menanggung bayaran gaji tinggi menyaksikan beberapa bintang meninggalkan skuad TBG demi kelangsungan karier tersendiri.

Kehilangan pemain tengah, Brendan Gan pada awal musim 2020 dituruti dengan pemergian sebilangan tonggak lain, termasuk Shahrul Saad, Kenny Pallraj dan J Partiban berlaku pada tahun berikutnya.

Namun, nasib Perak FA terus merudum selepas mereka akhirnya tersingkir ke divisyen kedua bola sepak tempatan buat kali pertama sejak penubuhan liga profesional pada 1994.

Situasi buruk itu bagaimanapun tidak berlanjutan apabila kehadiran syarikat telekomunikasi, XOX Bhd melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd menyelamatkan kelab terbabit.

Malah, rombakan format Liga Super daripada MFL menyaksikan mereka kembali ke Liga Super meskipun menamatkan saingan di tangga kesembilan divisyen kedua musim lalu.

Kini, dengan skuad TBG hanya dibarisi pemain muda, mereka masih bergelut untuk mendapatkan rentak apabila mereka berada menduduki tangga ke-11 selepas 12 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram