SELEPAS terpaksa melupakan khidmat bek tengah berpengalaman, Herold Goulon akibat kecederaan jangka panjang, kini Negeri Sembilan terpaksa melupakan khidmat kapten mereka, Zaquan Adha Abdul Radzak.
Ini selepas penyerang berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan semasa bertemu Selangor dalam aksi Piala FA 2023 pada Sabtu.
Zaquan tampil sebagai pemain gantian dengan harapan dapat membantu skuad Jang bangkit mengejar Gergasi Merah.
Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian dengan dua gol Yohandry Orozco memastikan skuad Tan Cheng Hoe mara ke separuh akhir Piala FA dengan kemenangan 3-1 ke atas tuan rumah di Paroi, Negeri Sembilan.
Lebih malang, kecederaan itu agak serius yang mana Zaquan ditempatkan di zon kuning sebuah hospital tempatan selepas perlawanan dengan difahamkan bahawa pemain berusia 35 tahun itu mengalami koyak ligamen lutut anterior (ACL).
Namun adakah anda tahu selain Zaquan Adha, pemain tempatan lain pernah ditimpa kecederaan ACL.
Majoriti senaraikan empat pemain Malaysia yang pernah ditimpa kecederaan ACL lebih daripada sekali:
Brendan Gan musim ini mewakili Selangor FC. — Facebook
1. Brendan Gan
Pemain Malaysia kelahiran Australia, Brendan Gan sudah diketahui ramai mempunyai sejarah kecederaan melibatkan ACL sebanyak dua kali.
Kecederaan yang mengerikan ini menimpa kali pertama di lutut kanan ketika beraksi dalam saingan pertama Liga Super 2015 bersama Kelantan.
Kecederaan itu menyebabkan Brendan terpaksa melupakan aksi bola sepak selama setahun.
Malangnya, kecederaan yang sama kembali berulang ke atas Brendan pada penghujung musim 2016.
Berbezanya kali ini, kecederaan itu menimpa Brendan semasa beraksi bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee sekali gus menyebabkan dia terpaksa melupakan aksi bola sepak sepanjang tahun 2017.
Kali pertama kecederaan ACL menimpa Wan Zack ketika dia bermain bersama di Jepun. — Facebook
2. Wan Zack Haikal
Pernah mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air suatu masa dahulu, Wan Zack Haikal juga antara mangsa kecederaan ACL sehingga menyebabkannya gagal menyerlahkan potensi terbaiknya.
Kali pertama kecederaan ACL menimpa Wan Zack ketika dia bermain bersama di Jepun bersama FC Ryukyu pada 2013.
Ini menyebabkannya terpaksa melupakan saingan bola sepak negara matahari terbit tersebut dan kembali ke tanah air.
Selepas pulih daripada kecederaan tersebut, Wan Zack kembali menemui sentuhannya dalam permainan terutamanya ketika bersama Felda United.
Kecemerlangan itu juga membuatkan Selangor memancingnya.
Namun disangkakan panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari, belum sempat membuat penampilan pertama bersama skuad Gergasi Merah, pemain sayap ini terpaksa akur ditimpa kecederaan yang sama buat kali kedua ketika bermain pada aksi pramusim 2019.
Kini Halim masih ejen bebas selepas dilepaskan Selangor pada 2022. — Facebook
3. Halim Saari
Pemain kelahiran Kulim, Kedah ini sedang berada dalam prestasi terbaik dalam kariernya namun tanpa disangka-sangka Halim Saari terpaksa melupakan aksi pada musim 2021 selepas disahkan ditimpa kecederaan ACL.
Ia berlaku ketika aksi menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Untuk rekod, kali pertama pemain tengah berketinggian 1.78 meter ini ditimpa kecederaan ACL adalah ketika menyarung jersi Kedah semasa bermain pada saingan separuh akhir Piala FA 2017.
Kini Halim masih ejen bebas. — Facebook
4. Azalinullah Alias
Bukan sekali, bukan dua kali tetapi tiga kali.
Itulah jumlah kecederaan ACL yang menimpa pemain tengah berbakat Terengganu FC, Azalinullah Alias.
Musim 2021 sepatutnya menjadi musim buat pemain yang dikenali sebagai Azali untuk menampilkan potensi terbaiknya selepas ditimpa kecederaan ACL pada 2019 dan mengharungi musim yang pendek pada 2020 ekoran pandemik Covid-19.
Namun kecederaan serius di lutut menimpa Azali ketika menentang Melaka United pada dalam saingan Liga Super.
Selepas melakukan imbasan, pemain berusia 27 tahun ini disahkan ditimpa kecederaan ACL.
Untuk makluman, kali pertama Azali ditimpa kecederaan ACL ketika beraksi bersama Harimau Muda C pada 2015. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram