Bukan tak mahu belanja besar, CEO Perak kongsi realiti dan perancangan kelab lepas gugurkan LTK


  • Podium
  • Selasa, 30 Mei 2023

Perak FC kini berada dalam situasi getir dengan prestasi kelab yang kian merosot dalam saingan Liga Super musim ini. — Facebook/PerakFC

DUA kekalahan berturut-turut dialami skuad Perak FC dalam saingan Liga Super musim ini nyata bukanlah satu perkara yang dimahukan oleh kem kejurulatihan serta barisan pemain.

Malah lebih mengejutkan, pengguguran nama Datuk Lim Teong Kim daripada jawatan jurulatih pasukan baru-baru ini menambah lagi duka buat penyokong setia The Bos Gaurus (TBG) yang mula hilang kepercayaan terhadap kelab tersebut.

Sehubungan itu, Perak kini dikendalikan jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23) Perak, Yusri Che Lah yang berperanan sebagai ketua jurulatih sementara.

Beberapa pihak mula mendesak agar pengurusan Perak segera merombak segala percaturan dan perancangan pasukan dengan kos perbelanjaan tinggi amat ditagih untuk membawa masuk pengendali dan pemain terbaik dari dalam mahupun luar negara.

Terkesan dengan desakan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin menjelaskan beberapa situasi serta perancangan yang sedang dilakukan susulan isu yang melanda kelabnya.

bbo

Bobie Farid difahamkan sedang membuat beberapa perancangan untuk memperbaiki masa depan skuad Perak FC. — Facebook/Ariesham

Menurut beliau, segalanya berkait rapat dengan bajet serta kewangan pasukan untuk membayar kos operasi dan perjalanan kelab.

"Kena lihat pasukan Bawah 18 iaitu Perak FC 4 yang akan ditubuhkan tahun depan dan untuk memilih pemain bagi Piala Belia ini, kami akan menganjurkan kejohanan bawah 17 di sekolah yang terpilih melalui kerjasama Perak FC dan JPN.

"Jadi pada 2024, kita akan mempunyai empat pasukan dengan 120 pemain beserta barisan jurulatih yang perlu mempunyai lesen tertentu mengikut undang-undang liga masing -masing," ujarnya di laman Facebook @TBG Super Fan.

Tambahnya lagi, projek pembangunan akar umbi itu juga akan dilengkapi dengan fasiliti serta kemudahan yang seiring dengan pemain di skuad utama.

"Ini bermakna, kelab kena ada empat padang latihan, bilik rawatan, peralatan rawatan, bilik persalinan dan fasiliti padang latihan.

"Dan yang paling penting, kita kena pastikan pembayaran gaji, epf dan lhdn dibayar tepat pada masanya," jelasnya.

Tidak menumpukan segala kos perbelanjaan untuk tujuan kejuaraan di saingan liga, Bobie sebaliknya mempunyai pelbagai lagi strategi lain dalam konteks 'proses pertama' yang sedang dalam pembikinan.

Namun, segalanya masih dalam perancangan dan akan dikongsikan dari semasa ke semasa agar penyokong skuad Seladang lebih mengetahui akan pelan pembangunan yang cuba dilakukan ketika ini.

Dalam pada itu, segelintir peminat turut bertanya tentang spekulasi mengatakan Perak FC sebelum ini pernah menolak pemberian tanah dari kerajaan negeri untuk pembangunan stadium di daerah Perak Tengah.

Membalas pertanyaan itu, Bobie tegas mengatakan bahawa dakwaan itu tidak betul dan setakat ini masih belum ada sebarang perkongsian mengenai pembangunan stadium seperti yang diperkatakan di laman media kebelakangan ini.

Perak sebelum ini pernah memasang impian untuk memiliki sebuah stadium dan pusat latihan sendiri bagi menyediakan prasarana terbaik buat pemainnya sebagai usaha membawa kembali pasukan itu ke puncak kegemilangan.

Namun, desas-desus pemberian tanah daripada pihak kerajaan negeri seperti yang diperkatakan, sama sekali tidak benar dan pengurusan kelab masih berusaha mendapatkan bantuan daripada pihak berwajib. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram