[VIDEO] Dakwa bunyi ekzos terlampau bising, 'taiko' baju biru bantai 2 remaja sampai lunyai di Sungai Siput


  • Tular
  • Selasa, 30 Mei 2023

Tangkap layar pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di sebuah kawasan perumahan dekat Sungai Siput, Kuala Kangsar, Perak.

SEORANG lelaki bertindak ganas apabila memukul dua remaja dalam satu pergaduhan yang dipercayai berlaku di Sungai Siput, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Dalam kejadian tersebut, individu berbaju biru itu terlebih dahulu menengking dan menolak remaja terbabit sebelum memukul kedua-duanya di sebuah kawasan perumahan di situ.

Turut disaksikan beberapa lagi individu lain, namun insiden terbabit tidak dileraikan oleh sesiapa dengan ia semakin serius apabila si pelaku mula menendang mangsa hingga tercampak ke kawasan semak.

Dikongsikan di laman Twitter, video berdurasi 42 saat itu mengundang kemarahan warganet.

Punca pergaduhan dikatakan berlaku selepas mangsa menimbulkan kekacauan dengan bunyi ekzos motosikalnya yang terlampau bising sehingga mengganggu penduduk di kawasan terbabit.

Geram dengan situasi tersebut, pemuda berbaju biru itu kemudiannya menegur perbuatan itu sebelum berlaku perbalahan sesama mereka di tempat kejadian.

Salah seorang warganet menjelaskan terjemahan bahasa yang digunakan dalam pergaduhan berkenaan.

"Daripada apa yang saya dengar, baju biru geram sebab baju merah yang duduk atas motosikal itu pergi buat bising dengan ekzos motosikalnya di depan rumah.

"Jadi dia tengking akan pecahkan muka (pukul) kalau terus berbuat bising, jadi ini bukan kes buli tapi isu bengang dengan mat rempit dekat taman perumahan dia," kata Ram Dev.

Tarikh dan lokasi sebenar kejadian tidak dapat dipastikan, tetapi berdasarkan nombor plat kenderaan, insiden dipercayai berlaku di Perak.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung insiden terbabit setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hadir ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram