'The next Rizal Ghazali in making', Sang Kenari perlu ikat ubi muda, elak dirampas JDT atau Selangor


  • Podium
  • Sabtu, 27 Mei 2023

Kamil Akmal (kanan) mempunyai larian pantas dan pertahanan mantap ketika mengekang asakan pasukan lawan. — Facebook/KDAFC

KEKALAHAN dialami skuad Kedah FC dalam pertemuan dengan Gergasi Merah pada Rabu lalu nyata sukar diterima penyokong Sang Kenari yang masih kecewa dengan keputusan itu.

Tewas 2-3 dalam aksi yang penuh mendebarkan di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, rata-rata penonton berpuas hati dengan kualiti serta mutu permainan dipamerkan kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan dalam tempoh 90 minit di atas padang.

Pasukan pelawat terpaksa menerima kekalahan perit itu yang sekali gus menyaksikan anak-anak buah Nafuzi Zain terlepas tiga mata berharga dalam perlawanan berkenaan.

Dalam pada itu, peminat Kedah seakan-akan mendapat suntikan moral menerusi kelibat pemain muda yang semakin menunjukkan peningkatan dalam aksi saingan Liga Super musim ini.

Terbaharu, pemain pertahanan Kamil Akmal mula mencuri perhatian dengan kelajuan serta kekentalan dipamerkan ketika bertemu Selangor FC tempoh hari.

kamil 2

Kamil Akmal (tengah) mendapat pujian ramai susulan aksi cemerlang dipamerkan di benteng pertahanan Kedah. — Facebook/KDAFC

Individu berusia 24 tahun itu yang boleh berperanan sebagai pemain di posisi tengah dan pertahanan kanan, kian serasi bersama rakan sepasukannya selepas mempamerkan gaya permainan yang matang dan kebal dalam mengekang asakan serangan lawan.

Meskipun menerima layangan kad merah, peminat Sang Kenari masih boleh memaafkan kesilapan pemain itu selepas menghadiahkan sepakan percuma yang disempurnakan penyerang import Selangor, Noor Al-Rawabdeh sekali gus meletakkan Selangor di hadapan hingga ke wisel penamat.

Memiliki tubuh tegap dan larian pantas, aksi Kamil di atas padang saling tidak tumpah seperti Rizal Ghazali yang sebelum ini merupakan bekas tonggak pertahanan Kedah satu ketika dahulu.

Sesetengah penonton berpendapat, Kedah bakal melahirkan seorang pemain sensasi di posisi tersebut dengan sandaran utama kini tertumpu kepada kelibat Kamil Akmal.

gahzali

Rizal Ghazali merupakan bekas tonggak pertahanan Kedah satu ketika dahulu. — Facebook/KDAFC

"Kamil Akmal The Next Rizal Ghazali, semoga dia terus sukses dengan cemerlang, kena lebih beranikan diri bantu serangan atas," kata Shahss Firdaus.

"Padu Kamil Akmal ni, boleh naik turun, laju sama macam Rizal Ghazali, usia pun muda lagi kalau kekal main selalu mesti boleh naik nama dia ni," ujar Kamaruzzaman Man.

"Jaga si Kamil Akmal tu elok-elok, permata Kedah satu hari nanti, bagi pendedahan dan peluang main selalu baru menjadi dia punya skil," jelas Johari.

Dalam pada pujian yang diraih pemain itu, segelintir penyokong mula melihat ia sebagai satu ancaman sekiranya Kamil semakin mendapat perhatian di laman media.

Dengan usia muda dan kebolehan dimilikinya, peminat tak rela berputih mata sekiranya pemain itu dirampas pasukan Harimau Selatan satu hari nanti.

"Jujur aku kata, Kamil ni memang main bagus tapi kena jaga betul-betul jangan sampai disambar JDT nanti, sudahnya Kedah juga yang rugi kalau tak kembangkan bakat dia bermula sekarang," ujar Amin Ariff.

"Ubi muda macam ni kena jaga, takut diam-diam dia naik bas dari Kedah ke Larkin," kata Mohd Jefry Othman.

Tidak dinafikan bahawa Kamil Akmal merupakan salah seorang daripada pemain muda berpotensi untuk diketengahkan dalam tempoh masa panjang namun perlu diingati, pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia (Liga M) sentiasa memburu individu yang berbakat dan muda sepertinya.

Justeru, pengurusan Sang Kenari perlu mengkaji segala kebolehan barisan pemain dimiliki untuk terus dikembangkan gaya permainan mereka agar kekal berbakti di Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram