Dilabel Harry Maguire Perak, anak jati Terengganu dikritik tak layak jadi kapten skuad Seladang


  • Podium
  • Khamis, 25 Mei 2023

Penyokong menggesa pengurusan Perak FC menggantikan posisi kapten pasukan dengan individu lebih berpengalaman. — Facebook/PerakFC

KEKALAHAN demi kekalahan dialami skuad Perak FC dalam saingan Liga Super setakat ini menyaksikan pasukan itu semakin dikritik hebat penyokong.

Manakan tidak, momentum kemenangan yang diharapkan mampu dikekalkan dalam pertemuan dengan pasukan Kelantan FC sebelum ini gagal diterjemahkan apabila tumpas 1-3 di tangan Sabah FC pada Selasa.

Bertitik tolak daripada itu, barisan pemain serta jurulatih Lim Teong Kim sekali lagi menerima tamparan hebat apabila dihujani kecaman di laman media sosial.

Lebih mengejutkan, nama kapten pasukan skuad Seladang kian meniti di bibir peminat dengan kelibat Muhammad Hafizal Muhammad mula mencuri tumpuan susulan persembahan buruk dipamerkan di atas padang.

Dikatakan kurang menyerlah bersama skuad Seladang, anak jati kelahiran Terengganu itu dilabel sebagai Harry Maguire Perak dengan pemilihannya sebagai kapten pasukan dianggap tidak membawa sebarang kebaikan buat pasukan tersebut.

PERR

Muhammad Hafizal Muhammad dilabel sebagai kapten pasukan bukan pilihan bagi saingan Liga Super musim ini. — Facebook/PerakFC

Tiada sifat kepimpinan serta kualiti sebagai seorang ketua pasukan, rata-rata peminat menggesa agar lilitan kapten pasukan The Bos Gaurus (TBG) beralih ke individu yang selayaknya.

"Tiada kredibiliti sebagai kapten pasukan, ketua paling teruk pernah Perak ada, siapa yang pilih dia ni agaknya, sentiasa jadi lubuk posisi dia ni," ujar Ary Johary.

"Ilmu apa dia pakai boleh jadi kapten, lubuk barai betul kalau main, ingat dapat la bantu pemain muda tapi jadi punca kekalahan ada la," kata Mohd Zahid.

"Harry Maguire jelmaan Perak, harap tahun depan dia dah tak wujud lagi di Perak, langsung tak berfungsi sebagai kapten dan mudah hilang bola bila bertahan," jelas Shahir Zaki.

Sementara itu, segelintir penyokong mula menyebut beberapa pemain yang boleh menggantikan posisi pemain itu sebagai ketua pasukan pada musim akan datang.

Menggesa agar pemain berpengalaman dan anak jati Perak disenaraikan sebagai kapten skuad Seladang, dua nama diseru peminat untuk posisi tersebut.

"Bagi la Wan Zack Haikal jadi ketua pasukan, dia lebih berpengalaman dan ada kredibiliti untuk kemudi pemain-pemain muda Perak," kata Mohd Yusuf.

"Nasrol Amri pemain anak jati Perak, bagi dia jadi kapten lagi bagus, walaupun masih muda tapi gaya permainan dia lagi matang daripada yang sekarang," tambah Khalis Amsyar.

Justeru, dengan pemilihan kedua-dua pemain di atas diharapkan mampu mengubah hala tuju skuad Seladang dengan kedatangan ketua pasukan baharu, diyakini mampu memperbaiki persembahan Perak di baki saingan Liga Super musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram