'Ikat hujung tahun bagi IC terus,' fans iktiraf Bojan Ciger sebagai pemain naturalisasi Kedah


  • Podium
  • Khamis, 25 Mei 2023

Penyokong mahu import pertahanan Bojan Ciger dikekalkan untuk lima musim akan datang di Kedah. — Facebook/KDAFC

PEMAIN import pertahanan Kedah, Bojan Ciger semakin mendapat pujian daripada penyokong Sang Kenari yang berpuas hati dengan persembahan berkualiti dipamerkan pemain tersebut.

Merupakan antara tonggak utama pasukan pada musim ini, kehadiran Ciger di atas padang menguatkan lagi kubu pertahanan skuad Kedah dengan kekebalan serta susuk tubuh tegap dimilikinya sentiasa menghantui pemain lawan.

Ciger yang berperanan sebagai pertahanan tengah bukan sahaja cemerlang melaksanakan tugasnya dalam menjaga benteng pasukan, malah pemain berusia 28 tahun itu juga dilihat mempunyai ciri-ciri untuk menjadi ketua pasukan.

Mempunyai larian laju dan kerap membantu bahagian serangan di hadapan membuatkan pemain itu antara yang paling mencuri perhatian penonton berbanding import lain.

ciger

Bojan Ciger mempunyai kawalan bola yang mantap serta hantaran tepat ke arah rakan sepasukan. — Facebook/KDAFC

Terbaharu, aksinya turut berjaya memukau sebilangan peminat meskipun tewas 2-3 di tangan pasukan Selangor pada Rabu dan bertitik tolak daripada itu, sesetengah penyokong berasa gembira sekiranya Cigen diiktiraf sebagai pemain naturalisasi Sang Kenari.

"Ikat dia sampai bagi IC Malaysia pun kami setuju, dia dah la padu lepas tu tak banyak kutip kad, kalau bagi dia jadi ketua pasukan pun aku suka sebab mental dia boleh tahan kental," kata Mokhzanie Zinal.

"Ikat bagi lama sikit Bojan Ciger ni, kasi kontrak lima tahun terus lepas tu boleh serap sebagai naturalisasi Kedah, skuad kebangsaan juga yang untung nanti," ujar Syukri Senin.

"Sepatutnya pemain macam ni kita bagi naturalisasi, pulun sungguh dia main atas padang memang nampak fungsi dia kalau diturunkan," jelas Azman Khushairy.

Bekas pemain kelab Navbahor Namangan, Liga Utama Uzbekistan itu menjadi pilihan utama pengendali Nafuzi Zain dan sudah tampil dalam kesemua perlawanan Liga Super setakat ini.

Dengan kredibiliti ditunjukkan sebagai pemain utama pasukan, tidak mustahil sekiranya Ciger dijadikan sebagai pemain naturalisasi Sang Kenari pada masa akan datang selain posisi ketua pasukan juga dilihat berpotensi untuk dikendalikan pemain berketinggian 1.86 meter itu.

Perlawanan berikutnya bakal menemukan pasukan Kedah dan Sabah FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 2 Jun nanti dan semestinya kelibat pemain tinggi lampai itu ditagih penonton bagi mengekang asakan bertali arus skuad The Rhinos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram