Teong Kim out! YCL sah jadi pengganti sementara


  • Podium
  • Khamis, 25 Mei 2023

Teong Kim gagal menyuntik aura dan pengalamannya dalam dunia bola sepak tempatan. — Facebook/Perak FC

KETUA jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim sah digugurkan daripada jawatan pengendali pasukan susulan prestasi mengecewakan skuad The Bos Gaurus (TBG) musim ini.

Perkara tersebut disahkan menerusi satu pengumuman rasmi di laman media sosial rasmi pasukan Utara tanah air itu pada Khamis.

"Perak FC mengumumkan Datuk Lim Teong Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super berkuat kuasa serta-merta," tulisnya.

Dalam pada itu, jawatan tersebut bakal diisi oleh pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) Perak FC, Yusri Che Lah dengan status ketua jurulatih sementara.

Yusri sebelum ini pernah diberikan kepercayaan untuk membimbing skuad TBG ketika mereka berada dalam saingan Liga Perdana pada 2022, namun pasukan tersebut hanya menamatkan saingan di tangga kesembilan.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu tugasan mudah buatnya memandangkan mereka berdepan pelbagai denda berbentuk potongan mata berpunca daripada isu kewangan dan pengurusan.

Teong Kim hadir dengan reputasi cukup tinggi memandangkan dia pernah menimba pengalaman membimbing skuad remaja Bayern Munich untuk beberapa tahun di samping dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dari 2016 hingga 2020.

Namun, kesukaran untuk menyuntik falsafah bola sepak dalam Perak FC, pasukan Utara tanah air itu berada di tangga ke-11 Liga Super selepas 12 perlawanan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lim di atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau pada masa hadapan," tulis kenyataan itu lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram