Indra Putra, 42 tahun, sangkal tanggapan dia “manusia hebat”


  • Podium
  • Khamis, 25 Mei 2023

Indra Putra menjaringkan dua gol selepas 10 perlawanan Liga Super musim ini. — Facebook/KUFC

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

MASIH ingatkah satu klip video yang tular mempersendakan pasukan kebangsaan Singapura pada 2014 bertajuk “Keeper kat mana?” Sembilan tahun kemudian, pemain yang berperanan utama dalam klip video itu masih menjaringkan gol dalam Liga Super, kurang kira-kira tiga bulan untuk menginjak usia 42 tahun.

Diajukan kepadanya gelaran sebagai manusia hebat, Indra Putra Mahayuddin, bagaimanapun, menepisnya dengan mengatakan dirinya seorang yang ‘biasa-biasa’ tanpa apa-apa yang istimewa.

Klip video itu merujuk kepada jaringannya ketika Malaysia menundukkan Singapura 3-1 dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF di hadapan 50,000 penonton di Stadium Nasional, Singapura pada 29 November 2014.

Dengan pasukan tuan rumah itu ketinggalan 1-2 kepada gol-gol Safee Sali dan Safiq Rahim, penjaga golnya, Hassan Sunny, menyertai rakan-rakan sepasukan di hadapan pintu gol Malaysia ketika mereka diberikan satu sepakan percuma pada masa kecederaan.

Itu peluang terbaik The Lions untuk mengikat kedudukan, namun sepakan kapten, Shahril Ishak, dapat ditampan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, lalu disepak jauh seorang pemain pertahanan negara ke kawasan tengah padang.

WhatsApp Image 2023-05-25 at 11.50.22

Hassan (dua dari kiri) menyerang di kotak penalti lawan sehingga membiarkan gawangnya kosong.

Mengutip bola itu sejurus sebelum menghampiri garis tengah padang, Indra Putra melarikannya ke arah pintu gol tuan rumah yang ditinggalkan ternganga sebelum meleretkan bola dari jarak kira-kira 20 meter untuk Malaysia memuktamadkan kemenangan 3-1 dan Singapura tersingkir.

“Saya tidak akan lupa gol itu sampai bila-bila,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Laptop Cabuk, tidak hanya kerana ia menjadi tular tetapi juga membantu perjalanan Harimau Malaya bergelar naib juara kepada Thailand yang menang 4-3 dalam final secara timbal balik, dengan dia menjaringkan satu gol dalam kemenangan 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember 2014.

Malam Selasa pula menyaksikan pemain yang banyak berperjalanan itu menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-80 untuk Kelantan United FC yang diketuainya mendahului 3-2 di samping ia golnya yang ke-104 dalam Liga Super.

Indra Putra mungkin sudah menghampiri usia 42 tahun tapi kudratnya harus tidak banyak kurang daripada pemain yang angka usianya diterbalikkan kepada 24 tahun.

Persaraan atau gantung but belum terlintas di fikirannya – tidak juga pembedahan di kedua-dua pergelangan kaki serentak pada 2007 jadi penghalang -- sambil dia didorong hasrat yang kuat untuk menyambung khidmat bersama Kelantan United musim depan.

“Dah banyak jatuh bangun yang saya lalui. Nak naik sebagai pemain bola sepak ini memang susah, tambah-tambah waktu saya bermula kerana ada ramai pemain yang hebat-hebat. Tapi yang susah itulah yang akan kekal lama, yang senang dapat senang pergi,” tambahnya.

WhatsApp Image 2023-05-25 at 11.54.15

Indra Putra mulai menyertai KUFC pada Januari lalu selepas semusim menyarung jersi Perak FC. — Facebook/KUFC

Indra Putra hanyalah seorang daripada tiga pemain yang masih beraksi melewati usia 40 tahun selain Amri Yahyah (Sabah FC) dan Ramesh Lai (Kuching City FC). Bekas rakan sepasukan Indra Putra bersama Kuala Lumpur City FC, Shukor Adan, mendahului persaraan pada usia 42 tahun selepas mereka menjulang Piala Malaysia pada 2021.

Mengakui dirinya seorang ‘kaki makan’ dan tidak banyak berpantang, pemain yang membuat 56 penampilan bersama Harimau Malaya dari 2002–2015 itu, menyandarkan keupayaan bertahan sejauh ini kepada soal hati selain mendapat rehat yang cukup.

“Sebenarnya, ia datang dari hati. Semua orang tak sama, ada pendirian masing-masing, semangat juang berbeza-beza. Untuk bertahan selama yang boleh, (kekuatan) dalaman kena kuat selain banyak memohon kepada ALLAH.

“Latihan pasukan saja tak cukup, kena buat latihan tambahan sendiri untuk tingkatkan stamina. Saya berlari 5 hingga 10 kilometer sekurang-kurangnya dua kali seminggu,” kata pemain itu yang tidak berpantang makan asalkan ia berkhasiat dan seimbang selain tidak menolak minuman berais.

“Apa yang saya fikir ialah minat yang mendalam terhadap bola sepak kerana dari situ, saya dapat bantu pemain-pemain muda,” katanya yang memiliki rekod penyertaan berbeza bersama Perak (1999–2003), Pahang (2004–2007), Selangor (2008), Kelantan (2009–2010), T-Team (2011–2012), Kelantan (2012–2013), Felda United (2014–2015), Kelantan (2016–2017), Kuala Lumpur City (2018–2021), Perak (2022) dan Kelantan United musim ini.

WhatsApp Image 2023-05-25 at 11.54.18

Indra Putra antara penyerang terbaik Kelantan pada zaman kegemilangan TRW. — Facebook/KUFC

Senarai pencapaiannya juga harus dikagumi dengan dikalungkan pingat kejuaraan Piala Malaysia bersama tiga pasukan berbeza – Pahang (2006), Kelantan (2010, 2012) dan Kuala Lumpur City (2021) di samping kejuaraan liga bersama Perak (2002, 2003), Pahang (2004) dan Kelantan (2012).

Kejayaan paling membanggakannya ialah ‘treble’ ketika membintangi Kelantan pada 2012 selain dimasyhurkan sebagai pemenang anugerah kasut emas liga pada 2004 serta penyerang terbaik kebangsaan dan pemain paling bernilai (MVP), kedua-duanya pada 2009.

Mengekalkan penghormatan selaku pemain pertama menyumbat 100 gol dalam Liga Super di samping menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan golnya yang ke-104 kelmarin, Indra Putra masih mengidamkan lebih banyak jaringan untuk membantu peningkatan skuad Kijang Hijau

itu.

Musim ini, dia sudah tampil dalam 10 perlawanan sama ada dengan bermula atau masuk sebagai pemain gantian, kebanyakannya untuk sebahagian daripada masa penuh, dengan gol sulungnya datang daripada sepakan percuma pada masa kecederaan ketika tewas 1-3 kepada Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 1 Mac lalu.

Perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Selasa pula menyaksikan dia berada di padang selama 90 minit sebelum dikeluarkan pada waktu kecederaan, yang menyaksikan tuan rumah mendapatkan gol penyamaan 3-3 melalui Filemon Anyie.

WhatsApp Image 2023-05-25 at 11.54.14

Indra juga menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan KUFC.— Facebook/KUFC

Ditanya selama mana lagi dia mahu bermain, Indra Putra, anak kelahiran Ipoh, Perak pada 2 September 1981, mengungkapkan: “Saya tengok dulu keadaan macam mana. Selagi mampu dengan kudrat yang ada, dan masih ada pasukan yang mahukan, saya akan terus bermain.

“Saya harap dapat bantu Kelantan United bangkit perbaiki kedudukan (dari tangga tercorot dengan hanya tiga mata ketika ini), mudah-mudahan dengan kedatangan jurulatih baru,” katanya merujuk kepada jurulatih dari Brazil yang bakal diumumkan secara rasmi.

Kepada pemain-pemain yang berhasrat melanjutkan kerjaya bermain melepasi usia 40 tahun, ini pesan Indra Putra, yang sudah memiliki lesen B kejurulatihan: “Tingkatkan kekuatan dalaman, suburkan minat untuk terus bermain dan lakukan latihan dua kali ganda daripada pemain lebih muda.”

Ada sesiapa yang berani? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram