'Ya, kita ambil risiko', Adam Adli pertahan prestasi hambar ubi muda di pentas Sukan SEA


  • Podium
  • Selasa, 23 Mei 2023

KBS kini akan menumpukan usaha untuk memperbaiki prestasi pemain dalam Sukan SEA akan datang.

MESKIPUN sudah lima hari Sukan SEA 2023 melabuhkan tirainya, masih ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menurunkan ramai atlet muda untuk beraksi di sukan dwitahunan itu.

Menjawab kecaman itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, tidak dinafikan keputusan untuk menurunkan atlet muda dalam Sukan SEA dianggap berisiko, namun ia dilihat sebagai antara platform terbaik untuk meningkatkan prestasi permainan atlet muda.

"Untuk sukan SEA kita memang sasarkan untuk menurunkan atlet muda supaya mereka dapat pengalaman, ruang dan peluang untuk beraksi di peringkat antarabangsa, yang lebih tinggi daripada Sukan Malaysia (Sukma) seterusnya menerima pendedahan yang jauh lebih baik.

"Itulah peluang untuk mereka, sebenarnya kalau dilihat, kutipan pingat yang kita dapat kali ini adalah hasil daripada 65 peratus atlet muda.

"Dalam erti kata lain, sebenarnya ada peluang yang cerah untuk kita lihat mereka (beraksi) di masa hadapan dan perbaiki persembahan mereka, jadi inilah platform yang paling baik untuk atlet muda," katanya kepada Majoriti.

Adam Adli

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka anjuran Majoriti, Majoriti7 dan Mstar di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Ujarnya, tindakan kerajaan memberi peluang kepada pelapis muda untuk beraksi dalam sukan berperingkat antarabangsa juga merupakan salah satu langkah untuk memastikan negara tidak ketandusan atlet yang berbakat.

"Ya kita ambil risiko tapi bagi saya okay jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti Thailand dan Vietnam yang menurunkan atlet yang beraksi dalam Olimpik. Kita nak pastikan atlet pelapis dapat capai prestasi yang lebih baik, ini pendedahan yang paling baik.

"Jadi kita tak perlu risau dalam dua sukan SEA (akan datang), sekurang-kurangnya mereka boleh dapat jadi atlet yang ada pengalaman dan dapat pastikan pelapis atlet kita juga tak putus," jelasnya.

Adam Adli mengakui, sasaran pingat emas sedikit tersasar daripada yang digariskan, namun KBS kini akan menumpukan usaha untuk memperbaiki prestasi pemain dalam Sukan SEA akan datang.

"Saya akui keputusan dan kutipan pingat dalam Sukan SEA yang kita bawa pulang bukan kedudukan terbaik, malah sedikit tersasar daripada sasaran awal yang digariskan, tetapi paling penting adalah bagaimana usaha seterusnya untuk kita meningkatkan bukan setakat memenuhi sasaran 30 atau 40 pingat emas tetapi sebenarnya memperbaiki kedudukan dalam Sukan SEA," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram