Adam terbuka kerjasama dengan KJ dalam isu belia


  • Primer
  • Rabu, 01 Mac 2023

Adam berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerja bersama dengan Khairy meskipun pemimpin tersebut baru sahaja dipecat daripada Umno, yang merupakan sebahagian daripada anggota parti kerajaan.

TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli menyatakan kesediaanya untuk bekerjasama dengan Khairy Jamaluddin Abu Bakar susulan pelantikan bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebagai Penasihat Belia Johor.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerja bersama dengan Khairy meskipun pemimpin tersebut baru sahaja dipecat daripada Umno, yang merupakan sebahagian daripada anggota parti kerajaan.

"Kementerian Belia dan Sukan ini kena beza sikit sebab kita sentiasa kena kerjasama baik sama ada di luar atau di dalam kerajaan," katanya kepada Majoriti.

Pada 27 Januari lalu, Umno mengumumkan pemecatan Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno dipercayai ekoran daripada tindakan pemimpin itu yang melanggar disiplin parti sewaktu Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Adam yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy juga tentutnya mempunyai pengalaman yang mampu menyumbang kepada kebaikan kumpulan tersebut.

"Orang kenal KJ bertahun-tahun sebagai Menteri KBS. Jadi saya kira pengalaman itu pasti akan bagi banyak kebaikan kepada golongan belia di Johor," ujarnya.

Pelantikan Khairy sebagai Penasihat Belia Johor itu dititahkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 15 Februari lalu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KBS, KJ, belia, Adam Adli, UMNO