DI sebalik kesibukannya untuk memikul tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dan timbalan menteri, Adam Adli Abdul Halim masih mengekalkan rutin harian yang dilakukannya sebelum ini menghantar anaknya ke taska.
Bapa kepada dua orang anak yang masing-masing berusia tiga dan enam tahun itu berkata, rutin tersebut merupakan waktu berharga yang digunakannya untuk mengoptimumkan masa bersama keluarga.
"Kebetulan sekolah anak tidak jauh daripada pejabat (Putrajaya). Kalau hari-hari kerja di pejabat itu, adalah masa untuk bawa dia minum sarapan sebentar sebentar baru hantar pergi sekolah," katanya kepada Majoriti.
Beliau yang sudah mendirikan rumah tangga bersama isterinya pada 2016 berkata, masa bersama keluarga sememangnya semakin suntuk sejak memikul tanggungjawab tersebut.
Kataya, sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, waktu hujung minggu juga sering kali dipenuhi dengan aktiviti dan program kementerian tersebut yang perlu dihadirinya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, selain memenuhi tugasan harian di kementerian, beliau juga perlu membahagikan masa antara menjalankan kewajipan di kawasan Parlimen dan juga aktiviti politik sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Dalam pada itu, Adam,33, yang baru pertama kali dipilih sebagai ahli Parlimen memaklumkan, beliau akan memperuntukkan setiap hari Jumaat untuk balik ke kawasannya bagi menyelesaikan urusan sebagai wakil rakyat.
Mengulas mengenai aktivit waktu lapang dilakukannya selain tugasan rasmi, beliau berkata, ia lazimnya diisi dengan membaca buku selain menyertai aktivit riadah mingguan yang dianjurkan kementerian.
"Saya juga suka masak untuk keluarga biasanya. Tapi sekarang ini memang agak dah tiada masa," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram