LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
BERAKHIRNYA bulan Syawal semalam dengan sendirinya ‘membebaskan’ Datuk Ong Kim Swee daripada jadual undangan majlis rumah terbuka hari raya, yang meluangkan masa untuknya kembali membuat perancangan rapi pasukan menghadapi Liga Malaysia yang hampir sama ketat jadualnya.
Selaku ketua jurulatih Sabah FC, yang popular ketika skuad The Rhinos itu masih menghuni kelompok teratas liga, undangan yang diterimanya ke majlis rumah terbuka boleh difahami sangat banyak dan tidak putus-putus.
Lebih-lebih lagi pada minggu terakhir Syawal apabila undangan ke rumah terbuka yang banyak bertembung, tidak mungkin dia dapat menghadiri kesemuanya dan bersambungnya Liga Super selepas tempoh rehat tiga minggu sempena Sukan SEA Kemboja, boleh dijadikannya alasan terbaik.
“Selepas habis bulan Syawal, masih ada beberapa undangan lagi untuk majlis seperti itu yang dinamakan sempena hari raya,” katanya.
Kim Swee (tengah) mempunyai hubungan yang cukup baik dalam skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
Diingatkan perlunya menjaga pengambilan karbohidrat dan proteinnya dalam majlis seumpamanya yang ‘mewah’ dengan pelbagai juadah, apatah lagi dia kerap menjadi tumpuan kamera televisyen ketika siaran langsung perlawanan, Kim Swee sekadar ketawa.
“Ya, saya diberitahu sekurang-kurangnya lima kamera digunakan ketika siaran langsung. Apabila aksi terhenti di tengah padang, kamera gemar menumpukan dengan dekat gelagat jurulatih di tepi padang. Sebab itu, saya sentiasa beringat-ingat untuk menjaga perlakuan,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.
“Perlakuan” yang dimaksudkannya tentulah merujuk kepada pengurus Jerman, Joachim Low, yang dirakam kamera memasukkan tangan ke dalam seluarnya ketika perlawanan menentang Ukraine di Lille, Perancis dalam Kejohanan Euro 2016.
Sikap berhati-hati turut kini diingatkannya kepada pemain-pemainnya susulan keputusan seri 2-2 dengan Terengganu FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah Jumaat lalu menyaksikan skuad Sang Badak itu melurut sedikit ke tangga kelima liga.
Tidak sekadar itu, rekod 100 peratus di gelanggang sendiri yang dibanggakan mereka dalam lima perlawanan sehingga minggu ke-10 Liga Super (LS10) tidak mampu lagi dipertahankan sambil jumlah bolos juga bertambah dua lagi kepada 16 setakat ini – catatan terburuk dalam kalangan lima pasukan teratas.
“Kami tidak bermain dengan baik ketika menentang Terengganu, yang memiliki lebih penguasaan selain dapat menjaringkan dua gol. Cuma, kami mampu dapatkan gol-gol yang kami mahukan.
Telmo memecahkan kebuntuan menerusi tandukan ketika bertemu Terengganu FC. — Facebook/Sabah FC
“Untungnya kami masih dalam kelompok lima pasukan teratas kerana kami tidak boleh membiarkan keadaan di mana kami terjarak dengan kelompok top 6,” katanya.
Pasukan tuan rumah itu memecah kebuntuan jaringan melalui tandukan Telmo Castanheira daripada lambungan sepakan percuma Baddrol Bakhtiar pada minit ke-28 dan melebarkan pendahuluan kepada 2-0 hasil sepakan penalti Darren Lok pada minit ke-37.
Bagaimanapun, Terengganu FC bangkit merapatkan kedudukan menerusi sepakan percuma gemilang Sonny Norde (m-45+1), yang diulangi pemain kebangsaan Haiti itu pada minit ke-90+4 untuk kedudukan terikat 2-2 sehingga wisel penamat.
Kim Swee juga menjelaskan sebab mengapa dia memanfaatkan kedalaman skuadnya dengan menampilkan Jefri Firdaus Chew dan S. Kumaahran dalam kesebelasan permulaan di samping membawa masuk Gary Steven Robbat, Rawilson Batuil, Irfan Fazail, Amri Yahyah dan Jailton Da Silva sebagai pemain gantian dalam babak kedua.
“Ia bukannya tidak bersebab. (Pemain import kelahiran Korea) Ko Kwang-min dan Saddil (Ramdani) masih cedera, malah Park Tae su juga baru saja pulih dan tidak mampu menghabiskan 90 minit permainan.
“Gary dimasukkan untuk dia mendapatkan minit-minit permainan bagi mengembalikan tahap kecergasan dalam perlawanan,” katanya menjawab komen ramai penyokong yang menuntut agar tonggak utama pasukan kembali diturunkan.
Kelebihan skuad Sang Badak digandakan menerusi jaringan penalti Darren Lok. — Facebook/Sabah FC
Jurulatih itu mengakui perubahan kesebelasan yang diturunkan pada Jumaat merencatkan sedikit kelancaran permainan mereka, yang dieksplotasi oleh Terengganu FC yang mungkin menghidu tuan rumah tidak menggerakkan bola selancar perlawanan-perlawanan sebelumnya.
“Beberapa ketika sebelum kami mendapat sepakan penalti (sungkitan Daniel Ting terkena tangan Sardor Kulmatov pada minit ke-36), kami menggerakkan bola dengan cukup baik sehingga membawa kepada sepakan penalti itu.
“Tapi, kami tidak melakukan gerakan-gerakan seperti itu secara konsisten dan itulah yang menjadi masalah buat kami,” jelasnya.
Di sebalik rasa terkilan dengan dua mata yang keciciran, Kim Swee, bagaimanapun, masih meraih sedikit sagu hati daripada rekod tanpa kalah di tempat sendiri yang masih dipertahankan walaupun bukan lagi rekod 100 peratus.
Dua sepakan percuma cantik daripada Sony Norde mengikat kedua-dua pasukan. — Facebook/Terengganu FC
“Secara jujur, saya rasakannya sebagai dua mata yang hilang berbanding satu mata yang diraih. Tapi ia lebih baik daripada tidak mendapat satu mata pun,” ujarnya.
Bekas jurulatih skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan dan Harimau Malaya itu turut bersetuju dengan pandangan bahawa pasukan-pasukan yang berkunjung ke Stadium Likas kini datang dengan lebih bersedia setelah menganalisis kekuatan dan kelemahan tuan rumah itu.
Terengganu FC, contohnya, tidak menunjukkan permainan tergesa-gesa atau banyak membuka ruang, sebaliknya mengutamakan penguasaan bola dan bersabar menantikan momen terbaiknya untuk melakukan tindakan pemusnah.
“Jelas sekali Terengganu tidak datang dengan tangan kosong. Mereka menggerakkan bola dengan cukup baik, menyimpan bola selama yang boleh dan membuat perlawanan ini amat sukar buat kami.
“Mereka mendapat jaringan daripada kesilapan kami sendiri dan kami harus belajar daripadanya (untuk tidak bermurah hati kepada tetamu),” katanya lagi.
Sabah FC seterusnya akan menjadi tuan rumah kepada Perak FC Selasa ini, dan melayani kunjungan Kuala Lumpur City FC dalam aksi suku akhir Piala FA berselang lima hari pada 28 Mei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram