KELAB Johor Darul Takzim (JDT) kini berada dalam kelasnya tersendiri bukan sahaja dari segi kekuatan pemain, malah aspek fasiliti yang disediakan pihak pengurusan.
Terbaharu, Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, pihaknya kini dalam perbincangan untuk memeterai perjanjian-perjanjian yang bakal menaikkan lagi standard Stadium Sultan Ibrahim.
"Kami kini sedang berbincang dengan syarikat arkitek terkemuka antarabangsa untuk meningkatkan dan menambah baik lagi Stadium Sultan Ibrahim ikonik yang telah diundi sebagai ‘World Stadium of the Year’ pada 2020.
"Kami juga telah mencapai persetujuan dengan Starbucks untuk membuka cawangan di ‘Home of the Southern Tigers’.
"Ini akan meningkatkan lagi pilihan makanan dan minuman di stadium ini setelah Woodfire Burger dan KFC dibuka," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Penambahbaikan tidak hanya tertumpu kepada kualiti padang mahupun variasi pilihan makanan, malah pasukan itu juga dalam proses untuk menyediakan galeri muzium di stadium berkenaan.
Jelas beliau, galeri itu bertujuan memperagakan kejayaan yang dicapai sepanjang 10 tahun sejak ditubuhkan pada 2013.
Kerjasama JDT dengan syarikat terkemuka lain dilihat berupaya menambah nilai komersial pasukan yang mengungguli carta Liga Super musim ini.
Kemasukan Starbucks sebagai vendor seolah-olah menunaikan hasrat salah seorang penyerang import ternama skuad Hariman Selatan, Fernando Forestieri yang sebelum ini secara berseloroh berharap agar jenama minuman kopi terkenal itu dibawa masuk ke dalam stadium.
Mungkin ada yang masih ingat, penyerang yang kini mendominasi carta penjaring terbanyak dengan 10 gol itu pernah meninggalkan satu komen pada hantaran Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sewaktu pengumuman mengenai kerjasama JDT dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB).
Hantaran yang dibuat setahun lalu mencuit hati warganet kerana Forestieri seolah-olah menyangka bahawa pasukannya itu menjalinkan kerjasama dengan Starbucks.
"Saya menyangka ia adalah Starbucks," katanya.
Tangkap layar komen Forestieri dan TMJ di laman Instagram lebih setahun lalu.
Sementara itu, Baginda Tunku menerusi ruangan komen yang sama memberi bayangan bahawa kerjasama melibatkan syarikat minuman terbuka itu sedang dalam perancangan.
"Belum lagi.. akan datang," balasnya ringkas.
Untuk rekod, Stadium Sultan Ibrahim boleh dikategorikan stadium terbaik dimiliki di negara ini dan menjadi lambang kemegahan skuad Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram