Makan ikan patin tempoyak, Safawi seperti biasakan diri sarung jersi Sri Pahang


  • Podium
  • Jumaat, 19 Mei 2023

Safawi tampil dalam 13 penampilan bersama Ratchaburi, selain sempat menyumbang satu jaringan gol. — Instagram/Safawi

SELAGI pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid tidak memuktamadkan hala tuju kerjayanya, selagi itulah khabar angin mengenai perpindahannya akan terus bertiup kencang dalam kalangan penyokong.

Ucapan selamat tinggal itu dimuat naik sendiri oleh pemain kelahiran Terengganu FC tersebut di laman Insta Story miliknya baru-baru ini.

Safawi hanya berkelana selama lima bulan di Liga Thailand sebagai pemain pinjaman Johor Darul Takzim (JDT) sejak menyertainya pada Disember tahun lalu.

Selepas tonggak kelahiran Terengganu itu sah mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Thailand, Ratchaburi FC, pasukan domestik dan luar negara pastinya mempersiapkan tawaran yang menarik untuk menarik Safawi.

Antara kelab yang dikatakan berminat menggunakan kepakaran Safawi ialah Terengganu FC (TFC), Sabah FC, Sri Pahang FC dan termasuklah kelab Indonesia, Persib Bandung.

Di antara semua pasukan yang dikaitkan dengan bekas tonggak skuad Penyu itu, Sri Pahang dikatakan menjadi destinasi pinjaman seterusnya untuk Safawi selepas beberapa bayangan diberikan pemain berusia 26 tahun tersebut.

WhatsApp Image 2023-05-19 at 17.34.15

Tangkap layar Safawi sedang menikmati ikan patin masak tempoyak.

Seperti baru-baru ini, Safawi dilihat menikmati makanan yang cukup sinonim dengan negeri Pantai Timur itu iaitu ikan patin masak tempoyak bersama isterinya, Syifa Melvin.

Walaupun hanyalah hidangan makanan, namun ia mencetuskan spekulasi dalam kalangan penyokong yang mana rata-rata penyokong Tok Gajah berpendapat bahawa Safawi sedang mempersiapkan diri untuk menyarung jersi Sri Pahang menjelang perpindahan kedua.

Kehadiran Safawi mampu meningkatkan jentera serangan Sri Pahang yang ketika ini hanya bergantung harap dengan khidmat pemain sayap, Baqiuddin Shamsudin.

Selain itu, memiliki ramai pemain Harimau Selatan dan mudah membina keserasian berkemungkinan menjadi faktor Safawi untuk menerima tawaran bersama Tok Gajah.

Antara pemain JDT yang kini menyarung jersi Tok Gajah ialah Fadhli Shas, Azrif Nasrulhaq, Syazwan Andik dan Izham Tarmizi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram