PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini mendedahkan pemain kacukan England-Malaysia, Ricard Chin bakal membantu Harimau Muda untuk kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) pada September ini.
Perkara berkenaan dimaklumkan sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengatakan pemain berusia 20 tahun itu sedang menunggu pasport sebelum bergelar pemain kebangsaan.
Bukan itu sahaja, Hamidin juga memuji kualiti yang ada pada bek tengah muda Charlton Athletic itu dan berpendapat Richard turut mampu beraksi untuk pasukan senior.
Selain Richard, FAM juga berharap agar dua pemain muda kebangsaan iaitu Nooa Laine dan Luqman Hakim boleh memperkuatkan skuad B-23 bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B23 dan Sukan Olimpik 2024.
Bukan hanya tiga ubi muda itu, penyokong juga menyimpan hasrat agar dua lagi pemain dapat mewakili Malaysia ke Kelayakan Piala Asia B23 iaitu Kobe Jae Chong dan tonggak sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi.
Kobe Jae sebelum ini dikaitkan dengan Sri Pahang FC. — Twitter/Kobe
Kobe Jae yang kini berusia 21 tahun pernah menunjukkan minatnya untuk beraksi mewakili negara, namun tiada lagi sebarang perkembangan daripada badan induk bola sepak Malaysia itu.
Pemain warisan Malaysia-Jamaica itu sebelum ini sempat menabur bakti selama hampir lima bulan bersama Nuneaton Borough dengan melakukan sebanyak 14 penampilan di kelab dari divisyen tujuh Inggeris itu.
Bagi Arif Aiman pula, sejak Sukan SEA 2023 lalu, penyokong sememangnya berharap agar tonggak Harimau Selatan itu boleh menjadi pemain utama Harimau Muda.
Penyerang itu sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi dengan namanya terus mekar bersama Harimau Selatan sejak melakukan debut pada 2020.
Kemampuannya sama sekali sukar dipersoalkan apabila dia muncul sebagai pemain terbaik tempatan selama dua tahun berturut-turut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram