'Tak perlu salahkan JDT', coach akar umbi tegur kelab Liga M suka buat kerja mudah


  • Podium
  • Jumaat, 19 Mei 2023

Muhammad Aqil memilih untuk menyertai akademi JDT bagi meneruskan karier bola sepaknya. — Facebook/JDT

KEMASUKAN pemain cilik, Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi ke Johor Darul Takzim (JDT) ternyata mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air.

Muhammad Aqil sebelum ini tular di media sosial yang dilihat cukup tenang dalam melakukan hantaran serta mengawal bola dalam satu perlawanan menentang pemain lebih berusia.

JDT menerusi laman rasmi media sosial menyatakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri akan menyertai akademi JDT.

Akademi JDT adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan.

Difahamkan, Muhammad Aqil merupakan anak kepada legenda futsal Terengganu, Shamsul Aswadi dan pernah menjalani latihan dibawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Penyertaan Muhammad Aqil ke JDT mendapat perhatian jurulatih akar umbi, Shazwan Wong yang menjawab segala ketidakpuasaan hati penyokong apabila kelab selatan tanah air itu menandatangani pemain cilik itu.

"Kalau Terengganu FC ada akademi, Aqil tak ke JDT, kalau Selangor FC ada akademi, Nazrul tak ke JDT, kalau Kuala Lumpur City FC ada akademi, Luqman tak ke JDT.

"Tak teringin ke kumpulkan 'talent' masing-masing dan train ikut filosofi kelab? Kerja susah mungkin, senang ambil terus dari lepasan AMD," ciapnya di Twitter pada Khamis.

Ciapan yang dimuat naik Shazwan Wong itu turut mendapat perhatian beberapa penyokong bola sepak.

"Nak gah macam kelab-kelab Eropah tapi invest untuk akademi pun tak nak buat.

"Kalau buat open selection atau scouting, akan ramai talent boleh jumpa, kalau sesuai dengan filosofi kelab, boleh serap ke skuad utama, kalau tak boleh jual ke kelab-kelab lain," kata @Ashraff97.

"Apa faktor yang menyebabkan kelab-kelab di Malaysia ini tak wujudkan akademi coach?" soal @Hanis_Matin.

"Yang sertai Selangor dari AMD, akhirnya ramai kena singkir tahun lepas, kelab tak ada filosofi," ujar @Palatao_Bola. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram