MASIH mengungguli carta, kedudukan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam Liga Super musim ini dilihat masih belum tergugat sehingga kini, dengan rekod 43 gol dalam 10 aksi yang dipamerkan.
Prestasi itu disumbangkan oleh ketajaman barisan penyerang berstatus bintang yang dimiliki mereka.
Bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri berpendapat, momentum kemenangan yang dikekalkan skuad Harimau Selatan adalah terjemahan daripada falsafah yang diterapkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu pasukan itu sentiasa menjaringkan gol.
"Yang itu merupakan falsafah TMJ sendiri. Baginda tahu dalam liga ini, sudah tentu nak menang kena menjaringkan gol.
"Jadi, rekod dari segi TMJ atau pengurusan yang ambil, ini yang paling tinggi sampai boleh cecah 43 gol dan penjaring individu dalam pasukan itu ramai, tujuh lapan orang penjaring gol.
“Jadi, saya rasa bila diterjemah bukan saja dari segi cara permainan tetapi individu-individu dalam pasukan yang boleh menjaringkan gol,” katanya menerusi satu program bual bicara di Astro Arena.
Pandangan Asmawi yang juga bekas pemain Selangor itu disokong dengan kejayaan akademi JDT melahirkan bintang muda seperti Ramadhan Saifullah, Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin dan K. Daryl Sham.
Malah yang terbaharu, pasukan gergasi tanah air itu terus memperkukuh skuad akademi Harimau Selatan dengan menandatangani Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi yang berumur 13 tahun dari Terengganu.
JDT membuktikan mereka antara pasukan terbaik dalam negara yang tidak mensia-siakan bakat pemain-pemain muda.
Sementara itu, penyerang import ternama pasukan itu, Fernando Forestieri juga kini mendominasi carta penjaring terbanyak dengan 10 gol diikuti oleh pemenang Kasut Emas musim lalu, Bergson da Silva yang kini menyumbat enam gol.
Bagaimanapun bagi peminat skuad Harimau Selatan itu, sama seperti yang lain, pasukan kesayangan mereka turut berdepan pelbagai dugaan sebelum berjaya meraih kedudukan sekarang.
"Tapi nak sampai ke tahap sekarang pun JDT struggle juga dulu tetapi perancangan dan pelaksanaan itu penting baru boleh maju, kalau nak segera memang sampai sudahlah pasukan dalam Malaysia ni duduk bawah JDT saja," kata peminat, Muhammad Faried. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram