[VIDEO] 'Harap muka kacak, adab tiada', pemain Thai dikecam tak hormat tuan rumah Sukan SEA


  • Tular
  • Rabu, 17 Mei 2023

Tangkap layar tindakan pemain Thailand yang membaling pingat perak dimenanginya.

PEMAIN pertahanan Thailand, Jonathan Khemdee dikecam warganet susulan tindakannya yang membaling pingat perak dimenanginya dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Kemboja pada Selasa.

Tewas dalam pertemuan menentang skuad Indonesia dengan keputusan 2-5, kekalahan itu nyata gagal diterima oleh Jonathan yang bertindak di luar kawalan apabila melempar hadiah kemenangan dan pingat perak yang diterimanya kepada penonton usai perlawanan.

Mewakili kelab Ratchaburi FC di saingan Liga Thai, Jonathan juga merupakan rakan sepasukan kepada pemain Harimau Malaya, Safawi Rasid yang turut beraksi di pasukan sama.

Insiden tersebut dirakamkan menerusi kamera telefon pintar dan tular di laman Twitter.

Susulan kekalahan tersebut, pemain berusia 21 tahun itu turut mengumumkan persaraan daripada mewakili negaranya Thailand, selepas aksi akhir Sukan SEA berkenaan.

“Saya amat kecewa dengan perlawanan final seperti ini. Hari ini merupakan hari terakhir saya bersama skuad kebangsaan Thailand. Saya mahu berehat, tapi tak tahu berapa lama. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya dan pasukan Thailand,” ujar beliau dalam sesi temu bual selepas tamat perlawanan.

Dihujani kecaman di laman Twitter, rata-ratanya kesal dengan perbuatan ditampilakn pemain berbakat itu.

"Satu sikap yang sangat teruk, mana sifat hormat sebagai pemain, kelakuan itu sama juga seperti menghina tuan rumah dan memalukan negaranya sendiri," ujar Edgard.

"Muka kacak tapi adab tiada, hukum saja pemain seperti ini kerana dia tidak menunjukkan contoh baik buat negaranya," ujar BrewYellow.

"Patutlah kalah, tiada sifat profesional dalam bermain bola sepak, memalukan bola peringkat ASEAN sahaja," jelas Zahraquinsha.

Dalam pada itu, gelaran emas Sukan SEA untuk acara bola sepak yang diraih Indonesia merupakan satu penantian yang berdekad lama iaitu selama 32 tahun. Untuk rekod, Thailand telah merangkul gelaran juara Sukan SEA sebanyak 16 kali, Malaysia enam kali, Myanmar lima kali, Vietnam dan Indonesia sebanyak tiga kali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram