'Lawan habis-habisan', bos TBG sasar pecah rekod penonton paling ramai menjelang aksi 'El-Clasico Malaya'


  • Podium
  • Selasa, 16 Mei 2023

Kehadiran penyokong ke stadium amat ditagih menjelang pertemuan Perak dan Selangor pada 20 Mei nanti. — Facebook/PerakFC

MENJELANG pertemuan Perak FC dan Selangor FC pada 20 Mei nanti, pemain ke-12 skuad Seladang diminta hadir dan memenuhi ruang di Stadium Negeri Perak Darul Ridzuan bagi memberikan sokongan penuh buat pasukan itu.

Digelar sebagai perlawanan 'El-Clasico Malaya', aksi kedua-dua pasukan yang merupakan musuh tradisi itu merupakan antara saingan yang dinanti-nantikan peminat serta pemerhati bola sepak tanah air.

Bagi Perak yang masih segar dengan kemenangan dicatatkan ke atas pasukan Kelantan FC sebelum ini pastinya mahu meneruskan kejayaan itu untuk perlawanan ke-11 liga musim ini.

Tiga mata penuh pastinya menjadi sandaran utama penyokong The Bos Gaurus (TBG) dalam pelawanan itu nanti, ditambah pula dengan keinginan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bobie Farid Shamsudin yang mahu menyaksikan Stadium Perak dibanjiri penyokong tuan rumah, ia pastinya satu perkara menarik untuk disaksikan kelak.

rid

Bobie Farid (tengah) berharap agar Stadium Negeri Perak Darul Ridzuan dibanjiri penyokong tuan rumah menjelang pertemuan dengan skuad Gergasi Merah. — Facebook/PerakFC

Perkara itu dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook TBG Super Fan yang mengharapkan sokongan padu mampu diraih dalam memastikan kemenangan berpihak kepada skuad Seladang.

"Menang, kalah atau seri kami akan lawan habis-habisan. Sokongan daripada anda semua sangat-sangat diperlukan.

"Janji sumpah setia dalam bola sepak adalah tulang belakang kekuatan pasukan, jom ramai-ramai ke stadium," ujarnya.

Selain daripada barisan pemain yang bakal diturunkan nanti, pengendali Datuk Lim Teong Kim turut menjadi tumpuan peminat dengan taktikal serta formasi yang bakal diterapkan di atas padang, sering kali menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong.

Beberapa pemain sandaran mula meniti di bibir penonton dengan kelibat Wan Zack Haikal, Aliff Zikri, dan penyerang import Seonung Seo sentiasa ditagih atas padang susulan persembahan cemerlang yang ditampilkan ketiga-tiga individu terbabit dalam perlawanan terdahulu.

Bakal melayan kunjungan skuad Gergasi Merah, kehebatan pasukan Merah Kuning itu juga tidak boleh dipertikaikan pada musim ini selepas berjaya mencatatkan tujuh kemenangan dalam 10 perlawanan ditempuh setakat ini.

Namun, kelebihan beraksi di tempat sendiri pastinya akan digunakan sebaik mungkin oleh barisan pemain serta kejurulatihan Perak dengan tindakan Bobie yang mencabar penyokong untuk memecahkan rekod jumlah penonton teramai di stadium, pastinya menguatkan lagi semangat skuad Seladang menjelang 20 Mei nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram