[VIDEO] Polis tahan penunggang e-hailing biadab, ludah wanita di restoran Ipoh


  • 112
  • Selasa, 16 Mei 2023

Tangkap layar seorang lelaki ditahan polis kerana berpelakuan biadab dan membangkitkan isu perkauman di Falim, Ipoh, Perak.

SEORANG lelaki ditahan polis kerana membangkitkan isu perkauman serta mengeluarkan kata-kata kesat di sebuah restoran dekat Falim, Ipoh, Perak pada Isnin.

Selain daripada berpelakuan biadab, individu terbabit yang juga merupakan penghantar makanan (e-hailing) itu turut didakwa meludah dan menghina seorang wanita di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 42 tahun itu telah ditahan kira-kira pukul 10.30 malam Isnin di Ampang Baru, Ipoh berikutan siasatan terhadap video berdurasi satu minit 18 saat yang tular di Twitter.

"Suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun.

"Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis ganja dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berpelakuan aib," ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Yahaya turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung perkara itu kerana ia boleh menjejaskan siasatan atau menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram