SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) dimeriahkan dengan kehadiran beberapa pemain import ternama yang dibawa masuk pengurusan kelab bagi memperkuat pasukan masing-masing musim ini.
Ditambah pula dengan prestasi semasa pasukan tanah air yang berjaya melayakkan diri ke saingan peringkat kejohanan Asia sebelum ini, ia pastinya membuka mata ramai pemerhati bola sepak di luar sana yang sebelum ini mungkin tidak mengenali Malaysia.
Ketika ini, saingan liga domestik negara kian memuncak dalam carta dan kedudukan berdasarkan analisis terkini yang menunjukkan, Liga M kini setanding dengan 10 lagi liga negara lain yang rankingnya jauh lebih tinggi daripada skuad Harimau Malaya.
Perkara itu dimuat naik di laman Twitter 'Asian Football Analysis Zone' yang melihatkan Liga Super Malaysia antara yang disebut sebagai saingan rapat kepada beberapa liga negara lain yang rata-ratanya terdiri dari benua Eropah.
Berdasarkan gambaran yang dimuat naik itu, jelas menunjukkan bahawa kancah bola sepak tanah air sememangnya setaraf dengan negara yang dominan dalam sukan bola sepak dan lebih mengejutkan, England juga turut tersenarai dalam kedudukan tersebut.
Liga M dikatakan setaraf dengan 10 liga dari negara di atas. — Twitter/AFA_Zone
EFL League Two yang berada di divisyen keempat dalam liga England merupakan antara yang paling mencuri perhatian dengan kualiti pasukan-pasukan yang beraksi di bawah divisyen berkenaan boleh dikatakan setaraf dengan Liga M.
Meskipun ia bukanlah terdiri daripada kelab-kelab ternama di divisyen satu England, namun perbandingan itu boleh dianggap sebagai satu keputusan positif buat industri bola sepak tanah air yang semakin memuncak dan meningkat dari segi taraf dan kualitinya.
Dalam pada itu, melihatkan negara Arab Saudi yang turut kelihatan dalam gambar rajah diatas, kelibat pemain ternama dunia, Cristiano Ronaldo semestinya meniti di bibir penyokong apabila liga divisyen satu di negara itu dikaitkan sebagai seteru utama bagi saingan Liga M.
Sesetengah pihak mungkin beranggapan bahawa agak keterlaluan untuk dibandingkan kualiti pemain sedia ada dengan individu kelahiran Portugal itu namun, penilaian itu dibuat berdasarkan kualiti keseluruhan liga dan melihatkan hubungan baik yang terjalin antara Ronaldo dan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ), tidak mustahil jika Malaysia mampu menyamai rekod cemerlang kelab yang diwakilinya ketika ini iaitu Al-Nassr FC.
Beberapa lagi liga lain yang turut tersenarai dalam penilaian itu adalah terdiri daripada negara Venezuela, Perancis, Finland, Brazil, Indonesia, Sweeden, Poland dan Israel.
Justeru, perkembangan itu seharusnya dilihat dari sudut positif dengan liga negara kita semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa dan yang paling penting, momentum itu perlu terus dikekalkan oleh pemain serta pengurusan skuad kebangsaan dalam kejohanan yang bakal disertai nanti.
Ketika ini, skuad Harimau Malaya sedang dalam membuat persiapan bagi menghadapi saingan Kejohanan Piala Asia yang bakal bermula pada tahun depan dan segala kepakaran serta pengalaman pengendali Kim Pan-gon semestinya ditagih oleh peminat bagi menjulang nama negara di kejuaraan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram