'Jangan salahkan media sosial, itu alasan basi', penganalisis jenayah gariskan 3 langkah elak salah guna IT


  • Massa
  • Selasa, 16 Mei 2023

Perkongsian video di laman media sosial dikatakan punca peningkatan kadar jenayah kebelakangan ini. — Gambar hiasan

PERKEMBANGAN teknologi maklumat (IT) masa kini semakin merisaukan dengan ia dikatakan menjadi salah satu sumber rujukan dan pengetahuan buat segelintir pihak melakukan kegiatan jenayah.

Ada berpendapat bahawa lambakan pengisian video khususnya di laman YouTube menjadi salah satu faktor mengapa kadar jenayah di Malaysia semakin meningkat dengan pelbagai modus operandi dan taktik licik boleh dipelajari daripada medium tersebut.

Perkongsian maklumat cara ini bukan sahaja boleh mengundang kelakuan jenayah, malah ia juga memudahkan pihak terbabit kerana hanya perlu menonton rakaman secara percuma di laman media sebelum mempraktikkan ia secara meluas.

Namun, bagi fasilitator dan penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim, beliau membidas pandangan sesetengah pihak yang hanya menyalahkan media sosial dalam hal seperti ini.

Menurutnya, kenaikan kadar jenayah yang berlaku ketika ini merupakan atas pilihan dan kehendak masing-masing selain turut menyifatkan ia sebagai perkara yang tidak wajar untuk menyalahkan media sosial dalam hal berkaitan.

kamal

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim mempertikaikan dakwaan sesetengah pihak yang menyalahkan media sosial sebagai punca jenayah. Bernama

"Kalau nak diikutkan, zaman dahulu tak ada pun sumber daripada YouTube, Facebook dan sebagainya tapi kenapa bila zaman semakin canggih, ia pula dipersalahkan.

"Apabila koridor multimedia dibuka buat masyarakat, jadi ia di tangan masing-masing untuk menilai mana yang baik dan buruk, mungkin juga ada pengaruh daripada media sosial saya tak nafikan tetapi ia adalah perkembangan teknologi, jadi ia sesuatu yang kita tak akan boleh halang.

"Memang ada video cara buat bom, merompak dan sebagainya tetapi perkongsian di alam maya ini kita tak boleh hentikan, kalau kata ada akta baharu dikeluarkan sekali pun pihak tertentu akan dapat maklumat yang dimahukan kerana capaian di zaman tekonologi tiada batasannya," ujarnya kepada Majoriti.

Menganggap dakwaan itu sebagai satu alasan basi, Kamal Affandi menjelaskan bahawa medium teknologi seperti ini sudah lama dipersalahkan atas dasar mahu lari daripada kesalahan.

"Dari dulu lagi orang asyik salahkan paparan di media sosial jadi punca jenayah meningkat, remaja semakin mengganas dan sebagainya tetapi yang sebenarnya ia adalah atas keinginan masing-masing.

"Kalau nak timba ilmu kita boleh cari di YouTube dan sama juga kalau nak buat jahat. Tiada halangan melainkan diri sendiri yang menentukan apa tindakan dan kesan akibatnya nanti.

"Kalau kerajaan nak hentikan perkongsian video berunsurkan jenayah sekali pun, kes penipuan 'scammer' masih akan berterusan jadi tiada gunanya kalau keluarkan undang-undang baharu," katanya.

Tidak dinafikan bahawa sumber teknologi merupakan salah satu kepentingan masyarakat pada hari ini namun, perkongsian maklumat berunsurkan jenayah perlu dibanteras dari peringkat awal khususnya bagi golongan remaja yang mudah terpengaruh.

Dalam usaha menangani isu ni, Kamal Affandi menggariskan beberapa langkah iaitu supaya rakyat Malaysia membuka minda dan tidak menyalahgunakan kemudahan teknologi sedia ada.

Selain itu, beliau juga menuntut agar lebih banyak program ataupun inisiatif daripada pihak kerajaan dalam memberikan kesedaran tentang hukuman dan undang-undang berkaitan kesalahan jenayah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram