PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) merupakan sebuah kelab yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan pelbagai kejayaan serta kejuaraan berjaya dijulang dalam kancah bola sepak negara.
Namun kecoh diperkatakan apabila pasukan itu dikecam ramai susulan sesi pemilihan ke Akademi JDT II yang dijalankan, tidak diurus dengan baik ketika ia berlangsung di padang latihan dekat Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor pada Jumaat.
Difahamkan, kanak-kanak yang hadir mencuba nasib dalam pemilihan tersebut terpaksa menunggu lama dari pukul 6.30 pagi hingga ke petang dan lebih menyedihkan, kebanyakan daripada mereka dikatakan tidak berpeluang untuk bermain di atas padang.
Perkara itu diluahkan oleh seorang bapa menerusi laman TikTok yang kecewa dengan situasi itu apabila anaknya kena 'sidai' dari pagi semasa sesi pemilihan tersebut dijalankan.
Mendesak orang ramai untuk memboikot akademi bola sepak berkenaan, rata-ratanya tidak berpuas hati dengan sikap pengurusan serta kejurulatihan yang tidak menghargai usaha calon yang hadir dalam sesi tersebut terutamanya yang datang dari jauh.
"Anak saya pun ada di situ, memang tak dapat main dari pagi ke petang tunggu buang masa je, memang tak hargai langsung budak-budak yang minat JDT ni," ujar Izarisham80.
"Saya dah pernah lalui sebelum ini, yang pasti hanya anak-anak yang berlatarkan individu ternama sahaja yang terpilih, yang lain memang tak diberi perhatian sangat," kata Suhaila Wakbon.
"Boikot je akademi JDT ni dari tahun lepas lagi ada kes macam ini sudahnya yang ada orang dalam juga dapat main dan dipilih, tunggu masa je TMJ ambil tindkan bila dah tular nanti," jelas Raja Aizi.
Gagal mengawal kemarahan berhubung perkara tersebut, rata-ratanya mendesak untuk memboikot pasukan terbabit dengan situasi itu difahamkan telah berlarutan sejak sekian lama.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan dari pihak pengurusan JDT dan pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim juga belum memberikan maklum balas berkaitan kes tular tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,