‘See you again’, Daud Bakar terima kejutan jumpa anak jati yang kini bos Lembah Klang


  • Podium
  • Ahad, 14 Mei 2023

Mohd Daud mengeluarkan bajet yang cukup besar ketika jendela perpindahan Liga Malaysia yang lalu.

KEDAH Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC merupakan antara pencabar Liga Super selepas kedua-dua pasukan membuat rombakan besar-besaran ketika jendela perpindahan yang lalu.

Skuad Sang Kenari berbuat demikian disebabkan pemilik baharunya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mahu saksikan kebangkitan kelab itu.

Meskipun semakin ramai pemain dan staf kejurulatihan baharu, namun pasukan itu dikatakan masih belum dapat memberikan potensi sebenar apabila ketika ini mereka berada di tangga kelima selepas 10 perlawanan Liga Super.

Justeru, Mohd Daud pastinya mengharapkan perubahan bermula dengan aksi Liga Super menentang Kelantan FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada 19 Mei nanti.

Bagaimanapun, perlawanan itu bukanlah tumpuan bagi para penyokong, memandangkan mereka perlu lebih bersedia untuk aksi minggu ke-12 menentang Selangor FC beberapa hari selepas itu (24 Mei).

Selain skuad Gergasi Merah berada di kedudukan kedua liga, perlawanan itu juga akan menyaksikan pertembungan dengan bekas jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Pengendali itu cukup dihormati memandangkan statusnya sebagai anak jati Kedah di samping menjadi sebahagian sosok penting yang membantu skuad Sang Kenari mencatatkan kegemilangan.

Debaran itu juga pastinya dirasai Mohd Daud yang mahu pasukan miliknya itu sekurang-kurangnya membawa pulang tiga mata untuk menambah baik kedudukan mereka.

Namun, baru-baru ini, penyokong Hijau Kuning menerima berita baik mengenai aksi yang ditunggu-tunggu itu apabila satu hantaran di Facebook usahawan itu seakan-akan mengukir senyuman di wajahnya.

Menerusi tulisan di ruangan Facebooknya, Mohd Daud dengan secara tidak sengaja bertemu Cheng Hoe yang berkemungkinan pulang ke negeri kelahirannya sempena cuti Liga Super.

“Semasa saya beratur untuk diperiksa bagi tujuan pelepasan, terdengar suara yang saya kenal dari belakang. Tan Sri, selamat hari raya. Nak pergi ke mana?

“Saya memalingkan badan saya. Saya terus nampak susuk tubuh yang hebat. Tan Cheng Hoe. Kami berbual dan berbual sehingga menaiki pesawat Firefly,” katanya.

daud2

Mohd Daud (kanan) berkesempatan bertemu dengan Cheng Hoe di Lapangan Terbang Subang pada Sabtu.

Sepanjang empat tahun Cheng Hoe mengendalikan Kedah FA, jurulatih tersebut pernah membantu pasukan Utara tanah air itu menjulang pelbagai trofi termasuk Piala Malaysia 2016.

Sejak mengendalikan Selangor FC, jurulatih itu berjaya mengubah landskap pasukan berkenaan dengan merekodkan kemenangan demi kemenangan.

“Dunia bola sepak nampak bulat dan mudah. Tetapi cabarannya macam mendaki bukit bukau yang curam dan berbatu tajam. Ada sahaja cabaran. Mungkin ia satu perjuangan.

"Save travel and see you again on 24 May," ujar Mohd Daud. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram