PELBAGAI perkara menarik sudah pun dihidangkan kepada penyokong bola sepak tanah air selepas 10 aksi Liga Super, termasuk beberapa kejutan yang dapat membangkitkan lagi tarikan sukan tersebut.
Antara topik yang sering dibincangkan pastinya bagaimana sesebuah pasukan masih bergelut meskipun sudah melakukan perbelanjaan secara besar-besaran sepanjang jendela perpindahan lalu.
Kedah Darul Aman (KDA) FC pastinya menjadi salah satu kelab dalam kategori tersebut selepas pemilik baharu, Tan Sri Mohd Daud Bakar memasang hasrat yang cukup tinggi buat kelab Utara tanah air itu.
Selain itu, naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC juga boleh dikatakan masih belum menjumpai rentak terbaik selepas hanya menduduki tangga kelapan selepas 10 perlawanan.
Kehilangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain serta pemergian sebahagian besar tonggak utama memaksa pihak pengurusan untuk bertindak sedemikian memandangkan kelab Pantai Timur itu bakal beraksi dalam Piala AFC 2023.
Bagaimanapun, pasukan di tangga ketiga, Sri Pahang FC merupakan antara kejutan musim ini selepas beraksi dengan cemerlang sehingga berjaya mengelak daripada mencatatkan sebarang kekalahan selepas 10 perlawanan.
22 mata yang dikumpul hasil daripada enam kemenangan serta empat keputusan seri sudah cukup untuk meletakkan pasukan kendalian Fandi Ahmad itu di landasan tepat untuk layak ke pentas Asia musim depan.
Tetapi, melihat kepada rekod serta prestasi semasa, skuad Tok Gajah masih perlu melakukan beberapa penambahbaikan, terutamanya di barisan serangan yang hanya menjaringkan 17 gol setakat ini.
Berdasarkan kepada ketiga-tiga pasukan di atas, mereka sepertinya masih perlu melakukan sedikit perbelanjaan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang dijangka akan dibuka seawal Julai akan datang.
Menerusi tinjauan dalam kalangan penyokong, pasukan masing-masing sepertinya perlu mendapatkan seorang pemain tempatan atau import baharu bagi memberikan suntikan serta nafas berbeza untuk separuh kedua musim ini.
Namun, ada juga yang berpendapat sebaliknya apabila terdapat desakan untuk melihat pihak pengurusan untuk membawa semula pemain yang pernah mewarnai pasukan berkenaan, lebih-lebih lagi pada 2022.
Selain dikatakan mempunyai hubungan rapat antara kelab dan pendirian masing-masing, mereka juga berpendapat kepulangan bekas tonggak itu akan membawa skuad masing-masing ke tahap berbeza tanpa perlu meluangkan masa terlalu lama.
Melihat kepada cadangan di hampir kesemua platform media sosial, terdapat satu nama yang tidak henti-henti didesak bagi setiap pasukan apabila penyokong berpendapat sumbangan mereka cukup penting musim lepas.
1. KDA FC (Ronald Ngah Wanja)
Persembahan yang kurang meyakinkan serta fizikal yang dikatakan tidak sesuai dengan Liga Malaysia menjadi punca penyerang kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja tidak dikekalkan musim ini.
Walaupun muncul sebagai penjaring terbanyak buat KDA FC dengan 15 gol dalam semua pertandingan, pemain yang juga dikenali sebagai 'Pak Ngah' itu dilepaskan bagi memberi ruang kepada import baharu Sang Kenari.
Oleh ituk, dia yang terpaksa meluangkan beberapa minggu mencari kelab baharu akhirnya memilih untuk membuka jalan baharu dalam kariernya selepas menyertai Al-Khor SC yang berpangkalan di Qatar.
Perpindahan itu sepertinya membuahkan hasil dengan pemain berusia 31 tahun berkenaan terus menjaringkan gol-gol penting dengan kelab tersebut dalam usaha melayakkan diri ke divisyen teratas bola sepak di negara terbabit.
Kontrak Pak Ngah yang tidak disambung menimbulkan pelbagai persoalan. — AFC
Bagi KDA FC, kehadiran dua penyerang kelahiran Brazil, Willian Lira serta Jonathan Balotelli masih belum memberi pulangan seperti mana yang diharapkan walaupun kedua-dua pemain itu sudah mencatatkan jaringan peribadi dalam saingan Liga Super.
Prestasi yang tidak konsisten serta keengganan untuk memberi sumbangan dengan lebih baik di atas padang menjadi punca skuad Sang Kenari hanya berada di tangga kelima dengan tiga kekalahan sudah dicatatkan.
Meskipun kepulangan Pak Ngah tidak boleh menjanjikan kemenangan secara berturut-turut, ia tidak menghalang sebahagian besar penyokong Hijau Kuning yang terus mengharap kepulangannya ke Liga Malaysia.
Namun, dengan pemain bertubuh sasa itu sudah menemui rentak di Timur Tengah, mampukah pihak pengurusan membawanya kembali ke Stadium Darul Aman, Kedah ketika jendela perpindahan kedua nanti?
2. Terengganu FC (Petrus Shitembi)
Keputusan pihak pengurusan Terengganu FC untuk membawa masuk beberapa pemain tengah sepertinya relevan memandangkan pasukan Pantai Timur itu kehilangan beberapa pemain berikutan kontrak yang tidak disambung.
Antara yang dibawa masuk ialah pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi yang hadir secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) beberapa minggu sebelum jendela perpindahan ditutup.
Namun, harapan yang menggunung daripada rata-rata penyokong Sang Penyu sepertinya tidak terbalas apabila pemain berkenaan masih gagal untuk beraksi dengan baik, lebih-lebih lagi dari segi pertahanan.
Sumbangan Shitembi cukup penting buat Terengganu FC musim lalu. — Facebook/Terengganu FC
Oleh itu, dengan jendela perpindahan akan dibuka tidak lama lagi, terdapat beberapa cadangan yang mahu Liridon untuk dipulangkan ke Selatan tanah air untuk memberi ruang kepada kepulangan pemain kelahiran Namibia, Petrus Shitembi.
Perancang yang boleh dianggap sebagai tonggak Sang Penyu musim lalu itu cukup dirindui memandangkan dia memainkan peranan penting dengan mencatatkan 10 bantuan gol daripada hanya 14 penampilan Liga Super.
Jadi, tidak hairanlah apabila pandangan itu sering dilaungkan penyokong kelab Pantai Timur berkenaan yang cukup merindui kebolehannya untuk melakukan umpanan berkualiti serta ketangkasannya untuk merebut bola daripada pemain lawan.
Tambahan pula, Shitembi yang baru sahaja berusia 30 tahun masih tidak terikat dengan mana-mana pasukan, sekali gus membuka pintu lebih luas untuk kepulangannya ke dalam skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu.
3. Sri Pahang FC (Steven Rodriguez)
Kejayaan pihak pengurusan Sri Pahang FC untuk mengikat penyerang import tinggi lampai, Kpah Sherman yang dilepaskan Terengganu FC merupakan antara titik penting buat kelab Pantai Timur terbabit.
Pemain yang menerima Anugerah Kasut Emas bagi kempen Piala Malaysia 2022 itu sememangnya menjadi watak penting buat skuad Tok Gajah dengan lima jaringannya menyumbang mata berharga buat skuad Tok Gajah.
Tetapi, perkara sebaliknya pula berlaku buat seorang lagi penyerang yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan lalu, iaitu Lucas Silva selepas dilanda siri-siri kecederaan sejak hari pertamanya tiba di Pantai Timur.
Lebih menggusarkan lagi, pemain kelahiran Brazil itu dikatakan cukup kerap mensia-siakan peluang di hadapan gawang lawan, termasuk ketika gagal menyempurnakan penalti semasa pertemuan dengan KDA FC tempoh hari.
Rodriguez diharapkan supaya kembali menyertai skuad Tok Gajah pada jendela perpindahan kedua. — Facebook/Sri Pahang FC
Meskipun digelar sebagai antara tonggak Penang FC pada 2022, kesukarannya untuk mendapatkan semula rentak serta isu kecergasan sememangnya menyekat kebolehannya untuk membawa Sri Pahang FC ke tahap lebih tinggi.
Jadi, untuk menyelesaikan isu tersebut, peminat setia kelab itu berharap agar pihak pengurusan tidak menunggu lama dengan berusaha sebaik mungkin bagi mendapatkan bekas penyerang, Steven Rodriguez.
Pemain kelahiran Colombia yang tiba secara pinjaman pada pertengahan musim lalu tidak menunggu masa yang lama bagi mendapatkan sentuhan jaringan dengan merekodkan sembilan gol dalam hanya 13 penampilan dalam Liga Super.
Bagaimanapun, isu dalaman menyaksikan kata putus tidak dapat dicapai antara Sri Pahang FC dengan majikan asalnya, Indepente Medellin yang pada awalnya mahu menjadikan pemain berusia 24 tahun itu sebagai antara watak utama pasukan.
Tetapi, musim ini, perkara sebaliknya berlaku apabila dia sekali lagi dipinjamkan ke sebuah kelab Colombia, Alianza Petrol bagi memberikannya minit permainan yang mencukupi.
Jadi, berdasarkan situasi itu, tidak hairanlah tatkala penyokong Tok Gajah masih mengharapkan agar Rodriguez dapat kembali ke Pantai Timur untuk sekurang-kurangnya sebagai pemain pinjaman untuk digandingkan bersama Kpah Sherman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram