Tenat di bahagian tengah, 3 maestro boleh jadi penawar Harimau Muda


  • Podium
  • Rabu, 10 Mei 2023

Pemain Malaysia tewas 1-2 kepada juara bertahan, Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 Kemboja pada Isnin. — Bernama

TIADA apa yang lebih mengecewakan penyokong bola sepak tanah air melihat skuad bawah 22 tahun (B-22) negara terkandas di peringkat saingan Kumpulan B Sukan SEA 2023.

Pemain Harimau Muda dalam skuad E Elavarasan itu bukannya tidak bagus, malah masing-masing memiliki kekuatan dan kelebihan individu di posisi masing-masing.

Namun masih ada kelemahan yang dapat dikesan dalam pasukan antaranya kekurangan dari aspek kebijaksanaan taktikal dan kreativiti di bahagian tengah Harimau Muda.

Perkara itu bahkan dipersetujui bekas pertahanan Selangor, Razman Roslan, yang melihat, serangan Harimau Muda banyak terarah kepada flanker.

"Kita tiada pemain yang efektif yang berupaya merencana serangan melalui bahagian tengah misalnya melakukan ‘through ball’ dan menghantar ‘killer pass’.

“Kita kekurangan pemain yang kreatif di bahagian tengah. Memang sukarlah untuk kita mencapai kemenangan.

"Kalau kita nak menang, (kita perlu gol dari) bahagian tepi, bahagian tengah (dan) sepakan dari luar,” katanya semasa menjadi panel rancangan Nindia Bola di Astro Arena.

Di Twitter, laman penyokong onefootball.my menyenaraikan tiga pemain tengah muda yang boleh menjadi penawar kepada jentera tengah skuad Harimau Muda.

Fvhx7FtaIAE1fhV

Hong Wan memiliki ciri sempurna untuk mengemudi jentera tengah. — Twitter

1. Nathaniel Shio Hong Wan (JDT)

Pemain muda Johor Darul Takzim (JDT) ini mendapat tempat dalam skuad utama Harimau Selatan selepas Syamer Kutty direhatkan berikutan kecederaan lutut.

Pemain berusia 22 tahun ini juga mampu memberikan saingan kepada Natxo Insa di JDT bagi memastikan tempatnya dalam kesebelasan utama.

Pemain kacukan Malaysia-China itu dianggap antara pemain tengah terbaik di saingan tertinggi Liga Super ketika ini kerana ketenangan dalam melancarkan gerakan serangan.

Dia juga mempunyai visi yang amat baik untuk mencari rakan sepasukan di barisan serangan yang jelas menjadi kunci kepada kemenjadian pasukan.

Fvhx7FqagAE0ZVN

Mukhairi memiliki kualiti dalam hantaran jauhnya. — Twitter

2. Mukhairi Ajmal (Selangor FC)

Nama Mukhairi semenangnya sudah tersenarai dalam skuad Harimau Muda kendalian Elavarasan ketika ini. Malah dia bukan pemain asing dalam skuad senior di bawah bimbingan Kim Pan-gon.

Cumanya prestasi berusia 21 tahun itu kurang konsisten mungkin kerana tidak sesuai dengan taktikal jurulatih sedangkan di Gergasi Merah yang dikemudi Tan Cheng Hoe, dia beraksi dengan lebih baik.

Justeru, arkitek tengah itu diharap dapat memperbaiki kualiti teknikal kerana dia memiliki rekod yang cemerlang dalam melakukan hantaran jauh yang tepat kepada rakan sepasukan.

Fvhx7FxaYAAHQg6

Nooa ada pengalaman berharga beraksi di Liga Finland. — Facebook/ FAM

3. Nooa Laine (SJK Seinajoki)

Perancang tengah kelahiran Malaysia-Finland ini boleh menyuntik nafas baharu dalam dimensi bola sepak tempatan berdasarkan pengalamannya beraksi di Liga Finland.

Pemain berusia 21 tahun itu juga sudah menempa pengalaman beraksi dengan skuad senior ketika perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada Mac lalu.

Nooa boleh menjadi aset masa depan bola sepak negara untuk menghidupkan jentera tengah dengan baik sama ada di skuad B-23 mahupun skuad Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram