Undian Piala Asia: Imbau aksi Harimau Malaya berdepan 3 gergasi Asia


  • Podium
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Skuad Harimau Malaya yang berjaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit. — Facebook/FAM

TEMPOH 42 tahun untuk menyaksikan skuad Harimau Malaya layak ke pentas Piala Asia secara merit boleh dikatakan tempoh yang agak lama dalam industri bola sepak negara.

Manakan tidak, kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia adalah pada 1980. Selain itu, skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.

Justeru itu, pada edisi Piala Asia kali ini, masih ada peluang untuk skuad negara mencipta sejarah tersendiri.

Apatah lagi skuad yang kini di bawah kendalian jurulatih Kim Pan-gon itu sememangnya terkenal dengan susunan strategi dan taktikal untuk mengucar-ngacirkan permainan pihak lawan.

Mengimbau kembali perjalanan Harimau Malaya, mereka menamatkan penantian untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun lalu.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan kebangsaan mengakhiri saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Bagaimanapun, menerusi undian pada Khamis, tekanan mula dirasai penyokong serta hampir kesemua pihak yang terlibat dalam Harimau Malaya memandangkan mereka diundi bersama kumpulan mencabar.

Ini kerana mereka dijadualkan bertemu beberapa gergasi di benua Asia, iaitu pemenang dua kali Piala Asia, Korea Selatan serta Jordan dan Bahrain yang juga cukup berpengalaman dalam kejohanan berkenaan.

Meskipun orang ramai mengatakan empat mata sudah cukup buat skuad kebangsaan melepasi peringkat kumpulan, ujian yang cukup besar daripada kesemua pihak lawan sememangnya menyukarkan hasrat itu menjadi realiti.

Namun, melihat kepada rekod pertemuan Harimau Malaya dengan ketiga-tiga pasukan itu sebelum ini, terdapat kemungkinan buat skuad negara untuk sekurang-kurangnya layak ke peringkat kalah mati.

Menerusi tinjauan Majoriti, beberapa momen manis pernah direkodkan skuad kebangsaan meskipun terdapat jurang besar antara Malaysia dan ketiga-tiga negara itu.

1. Korea Selatan

Korea Selatan yang kini di ranking ke-27 dunia dilihat sebagai pasukan pilihan untuk Kumpulan E. — Agensi

Malaysia pernah mengejutkan pasukan pilihan Korea Selatan dalam saingan bola sepak lelaki Sukan Asia 2018 dengan kemenangan 2-1 di Bandung, Indonesia pada 2018.

Dalam aksi Kumpulan E di Stadium Si Jalak Harupat tersebut, Malaysia nyata tidak gentar berhadapan pasukan memiliki reputasi tinggi.

Safawi Rasid dijulang sebagai hero pada ketika itu dengan meledakkan dua gol dan menjadikan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee mendahului Kumpulan E dengan mengumpul enam mata, sekali gus layak ke pusingan kedua.

Namun begitu, Korea Selatan yang kini di ranking ke-27 dunia dibimbing bekas juara Piala Dunia 1990 dan Euro 1996, Jurgen Klinsmann dilihat sebagai pasukan pilihan untuk Kumpulan E dengan barisan pemain yang sangat berkualiti dan berstatus bintang yang bermain di pelbagai liga di Eropah.

2. Jordan

1322211

Pasukan Jordan merupakan lawan pertama Malaysia yang dijadualkan pada 16 Januari 2024 nanti. — Agensi

Kali terakhir skuad negara bertemu Jordan adalah pada 7 Oktober 2021 yang menyaksikan mereka tunduk 0-4 dalam aksi persahabatan diadakan di Stadium King Abdullah II, Amman.

Pada ketika itu, pasukan kebangsaan dilihat bergelut untuk mendapatkan gol walaupun mereka mempunyai pemain yang berpengalaman.

Jordan juga jelas bukan lawan mudah buat pasukan kebangsaan apabila skuad kendalian Tan Cheng Hoe pada ketika itu diasak pasukan tuan rumah sepanjang permainan walaupun tanpa tonggak utama Jordan.

Mengikut jadual, pasukan Jordan merupakan lawan pertama Malaysia yang dijadualkan pada 16 Januari 2024 nanti. Sehubungan itu, penyokong pastinya mengharapkan skuad negara membalas dendam dan menebus semula kekalahan ketika pertembungan menentang Jordan nanti.

Untuk rekod, Jordan kini menduduki ranking ke-84 dunia.

3. Bahrain

gYjShXdY-Bahrain_0-10-1200x769

Bahrain kini berada pada kedudukan ke-85 dunia sekaligus bakal memberi saingan sengit kepada skuad negara. — Agensi

Pada tahun lalu, Malaysia memilih laluan sukar untuk ke Piala Asia 2023 selepas tewas 1-2 kepada Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kekalahan di tangan pasukan ranking ke-85 dunia itu menyaksikan skuad Harimau Malaya terpaksa melepaskan status juara Kumpulan E ke tangan Bahrain yang mengutip enam mata maksimum daripada dua perlawanan ketika itu.

Pasukan gergasi Asia, Bahrain yang juga lawan sama tatkala Malaysia bertemu dalam aksi Kelayakan Piala Asia bakal menjadi lawan Malaysia sekali lagi apabila turut berada dalam kumpulan E.

Untuk rekod, Piala Asia akan bermula pada 12 Januari hingga 10 Februari 2024 di Qatar yang melibatkan lapan stadium terpilih dengan enam daripadanya pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Antara stadium yang dipilih ialah Stadium Al Janoub, Stadium Al Bayt, Stadium Ahmed Ali, Stadium Al Thumama, Stadium Kota Pendidikan dan Stadium Antarabangsa Khalifa manakala turut melibatkan Stadium Jassim Hamad dan Stadium Abdullah Khalifa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram